Tak Kisah Guna Kelayakan Rendah, Asal Dapat Kerja

feature

Laporan: Zuraidah Ahmad / Foto: Johnny George Kimlon (Sabah)

SIPITANG, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Tidak kisah jika perlu kelayakan lebih rendah, pencari kerja, Audrey Fenella Alladin, 24, berasal dari Papar rela asalkan mendapat pekerjaan.

Katanya, selain menjadikannya sebagai pengalaman, dia juga mahu menjana pendapatan untuk poket sendiri.

Audrey tidak kisah jika perlu menggunakan kelayakan lebih rendah.

Audrey tidak kisah jika perlu menggunakan kelayakan lebih rendah.

“Sejak tamat pengajian Mei lalu, saya aktif mencari kerja menerusi laman sesawang beberapa jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.

“Saya tidak kisah jika perlu menggunakan kelayakan yang lebih rendah asalkan saya dapat pekerjaan sebagai pengalaman pertama,” ujar Audrey yang hadir pada Program Kembara Kerjaya Kebangsaan 2.0 2017 di Dewan Serbaguna, dekat sini, pada Isnin.

Gadis yang memiliki Ijazah Pengurusan Sumber Manusia dari Financial Training & Management Services College Kuala Lumpur itu juga memberitahu dia berasa teruja untuk menghadiri sesi temu duga.

Turut ditemui, anak jati Sipitang dari Kampung Menengah Ulu, Mohd Azroy Ah Yuyau, 22, yang tekun mengisi borang temu duga.

Graduan Diploma Perakaunan AlmaCrest College itu menyatakan kesediaannya untuk menjawat apa-apa juga jawatan yang diberikan.

“Pada hari ini saya serahkan saja kepada rezeki, saya bersedia menerima apa-apa juga pekerjaan yang ada.

“Namun, jika saya mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan, saya akan lebih gembira dan sangat bersyukur demi ibu bapa dan keluarga,” katanya dengan penuh harapan.

Graduan Diploma Perakaunan, Mohd Azroy teruja menjalani temu duga

Graduan Diploma Perakaunan, Mohd Azroy teruja menjalani temu duga

Azroy kelihatan tiba di Dewan Serbaguna Sipitang bersama rakan-rakannya seawal 8.00 pagi lagi, lengkap dengan pakaian formal.

Mereka adalah antara ribuan pencari kerja yang hadir di destinasi terakhir Program Kembara Kerjaya Kebangsaan 2.0 Tahun 2017 (Train Ride Sabah) iaitu Daerah Sipitang.

Program yang diadakan serentak di Sarawak dan Semenanjung itu bermatlamat untuk memberi perkhidmatan peluang pekerjaan dan latihan kepada masyarakat.

Di Sabah, program bermula pada 16 Ogos lalu di Stesen Keretapi Tanjung Aru dengan kehadiran lebih 2,000 pengunjung serta seramai 593 calon telah diberi penempatan dengan gimik sesi temu duga di dalam gerabak kereta api.

Konvoi turut disertai kenderaan pacuan empat roda yang kemudian bergerak ke lokasi seperti Beaufort (19 Ogos), Tenom (20 Ogos) dan Sipitang.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Muhamad Fauzi Abdul Ghani, sepanjang program tersebut, lebih 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan.

Jelas Muhamad Fauzi, pihaknya akan mengadakan karnival serupa di Daerah Kinabatangan dan Sandakan masing-masing pada 23 dan 34 September ini.

Sapawi (tengah) ketika melawat kiosk Jobs Malaysia

Sapawi (tengah) ketika melawat kiosk Jobs Malaysia

Fauzi berharap masyarakat terutama golongan belia tidak mensia-siakan peluang tersebut dan mengajak semua pencari kerja untuk datang beramai-ramai.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah,  Datuk Sapawi Ahmad.

-SF

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...