Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Bawa Bendera Di Sungai Rai Hari Kebangsaan

By 25 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto: Wee Kim Been & Khairunnisa Ismail

KOTA BHARU, 25 Ogos ( Malaysiaaktif) – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal menjelang tidak lama lagi, pelbagai agensi mahupun institusi turut serta dalam menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara bertuah ini. Pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan sambutan tahun ini cukup meriah dan bermakna.

Antara yang mengambil bahagian dalam sambutan kali ini adalah Sekolah Menengah Panji, yang memberikan kelainan dalam sambutannya.

Morgan (kanan) berkayak mengelilingi Sungai Raja Gali sambil membawa Jalur Gemilang.

Morgan (kanan) berkayak mengelilingi Sungai Raja Gali sambil membawa Jalur Gemilang.

Majlis perarakan jalur gemilang merentasi Sungai Raja Gali menggunakan kayak merupakan sesuatu yang cukup unik.

Menurut seorang guru sandaran sekolah tersebut yang ingin dikenali sebagai Miss Morgan, 24, beliau begitu teruja kerana berkesempatan untuk merasai kemeriahan sambutan bulan kebangsaan di negara ini.

Ujar gadis warganegara Amerika Syarikat yang sedang mengikuti Program Pertukaran Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) di sekolah itu lagi, aktiviti-aktiviti sebegini wajar diadakan di setiap sekolah dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara.

Sementara itu di sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa (SMJK Chung Hwa), Kota Bharu, 1,100 jalur gemilang dicantumkan bagi membentuk sebuah bendera sepanjang 626 meter, serta dibawa berarak disekitar Bandar Kota Bharu.

Menurut Pengerusi Malaysian Chinese Association (MCA) Kota Bharu, Datuk Tan Ken Ten, 57, berkata bertapa bertuahnya generasi hari ini dapat hidup dengan aman dan bebas.

Cantuman 1,100 jalur gemilang membentuk bendera sepanjang 626 meter, diarak mengelilingi Bandar Kota Bharu.

Cantuman 1,100 jalur gemilang membentuk bendera sepanjang 626 meter, diarak mengelilingi Bandar Kota Bharu.

“Adalah diharapkan melalui sambutan seumpama ini dapat menerap serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Secara tidak langsung mereka akan merasa megah menjadi warganegara Malaysia, bumi yang bertuah ini,” katanya.

Penuntut SMJK Chung Hwa, Gan May Yee, 13, berpendapat melalui sambutan yang dianjurkan oleh pihak sekolah ini, pelajar akan lebih menghargai kesepaduan kaum yang wujud hari ini.

“Pastinya generasi muda akan dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum, serta lebih menghargai jasa perjuang kemerdekaan negara suatu masa dahulu,” ujarnya lagi.

Sementara itu, program Kembara Bermotosikal dan Berbasikal membawa jalur gemilang sambil melaungkan laungan merdeka mengelilingi Kampung Sering merupakan aktiviti tahunan yang dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sering, di sini.

Maziatul Natasha, 15, menjelaskan aktiviti kembara bermotosikal serta berbasikal ini telah memberi manfaat serta pendedahan kepada dirinya untuk menyuarakan rasa cintakan negara kepada penduduk kampung yang lain dengan melaungkan laungan merdeka sekuat hati.

“Saya sangat sayangkan Malaysia dan tidak akan sesekali membiarkan negara ini dijajah lagi,” ujar ahli kelab 1Malaysia ini penuh bersemangat.

-SH

Tinggalkan komen anda