Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakPutrajayaWilayah Persekutuan

The Anson Stompers Semarak Merdeka

By 25 Ogos 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Diyana Zamri (Putrajaya)

TELUK INTAN, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Gemuruh tepukan dari pengunjung di Dataran Menara Condong, di sini, semalam apabila ‘The Anson Stompers’ dari Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI) naik ke pentas.

Mereka yang menggegarkan pentas dengan bermain alat muzik dari bahan-bahan terbuang seperti tin, paip PVC dan lain-lain lagi memainkan empat buah lagi patriotik antaranya seperti ‘Gemuruh’.

Menjelaskan mengenai kumpulan Stompers ini, Penyelaras dan Jurulatih ‘The Anson Stompers’, Zainor Azman Zulkifli, 38, berkata Stompers ini kalau ikutkan adalah muzik daripada barang-barang terbuang di sekeliling kita.

IMG_4591

“Bila kita ketuk sahaja, ada keluarkan bunyi, itu adalah ‘stomp’. Stomp bermaksud hentakan. Kalau di negara Barat dah ada dah kumpulan Stompers ini, tapi kumpulan Stompers di Barat ini betul-betul bunyi sahaja. Mereka tidak ada nyanyian, mereka hanya buat rentak melalui bunyi hentakan dan ketukan.

“Tapi untuk Kolej Komuniti, kami masukkan melodi kerana kami ada paip yang bertindak sebagai alat ‘keyboard’ atau piano. Ada melodi, ada irama, dan ada vokal.

“Untuk setiap kumpulan Stompers, ada dua tiga alat yang asasnya sama seperti tong biru besar dan tong cat. Bagi yang paip itu, Xylopipe, kami adalah kumpulan yang pertama menggunakan paip PVC tersebut dalam persembahan kami. Tapi, rasanya tahun ini dah ramailah yang ikut,” ujarnya.

Penyelaras dan Jurulatih 'The Anson Stompers', Zainor Azman Zulkifli

Penyelaras dan Jurulatih ‘The Anson Stompers’, Zainor Azman Zulkifli

Zainor bersama tiga orang lagi penyelaras yang mengajar dan melatih sendiri kumpulan ‘The Anson Stompers ini.

“Kami kebanyakannya bukanlah pemuzik atau cikgu muzik tapi kami ada asas muzik dan kesungguhan serta minat yang mendalam,” ujarnya penuh semangat.

Apabila ditanya mengenai cabaran yang dihadapi, Zainor berkata hanya satu sahaja iaitu dari segi pemilihan ahli.

Kumpulan The Anson Stompers Kolej Komuniti Teluk Intan

Kumpulan The Anson Stompers Kolej Komuniti Teluk Intan, Zainor (tiga dari kanan) dan seorang lagi guru penyelaras.

“Pelajar-pelajar kami bukanlah dari aliran muzik. KKTI menawarkan Sijil Tapak Bina dan 3D Animasi. Jadi, pelajar yang datang pun tidak ramai kerana hanya dua aliran sijil dan tempoh mereka belajar di sini dua tahun sahaja.

“Maknanya, setiap dua tahun, para pelajar akan bertukar. Jadi, kesukarannya adalah apabila kita dah latih mereka, dah cantik susunan kumpulan semua, mereka habis belajar,” kata Zainor.

Menurutnya lagi, Kumpulan Stompers Kolej Komuniti ini sebenarnya bermula daripada idea Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada tahun 2013.

“Ketua Pengarah Kolej Komuniti sahut cabaran daripada Menteri Pengajian Tinggi untuk buat Stompers di semua kolej satu Malaysia, ada 94 kolej. Setiap kolej mesti ada satu kumpulan Stompers.

The Anson Stompers KKTI menghiburkan pengunjung di Dataran Menara Condong.

The Anson Stompers KKTI menghiburkan pengunjung di Dataran Menara Condong.

“Bagi KKTI, Stompers kami bermula pada Ogos 2015 dan pada tahun yang sama juga diwujudkan pertandingan ‘Kolej Komuniti (CC) Battle Stompers’,” ujar Zainor.

Jelasnya lagi, Kolej Komuniti di setiap negeri akan bertanding di peringkat negeri sebelum johan pertandingan mewakili negeri di peringkat kebangsaan.

“Pada tahun 2015, di Putrajaya, kumpulan kami yang dinamakan bergelar juara pertama ‘CC Battle Stompers’.

“Pada tahun lepas, di peringkat kebangsaan kami sekali lagi wakil negeri Perak tetapi kami tidak bernasib baik, hanya mampu mendapat tempat ketiga dan untuk tahun ini, kami dilantik sebagai tuan rumah.

“Pertandingan bakal dibuat di Menara Condong pada 26 Ogos ini dan insya-Allah tahun ini kami akan ambil balik gelaran juara itu,” katanya tentang pertandingan yang bakal menyaksikan 11 kumpulan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berebut gelaran juara.

“Kami ada dalam 15 hingga 20 orang ahli. Tapi, untuk pertandingan, syarat yang dibenarkan hanya enam hingga 10 orang. Jadi, kami bawa 10 orang untuk pertandingan kali ini,” jelas Zainor.

Ketua Kumpulan The Anson Stompers, Ahmad Muammar Yusof

Ketua Kumpulan The Anson Stompers, Ahmad Muammar Yusof

Dalam pada itu, Ketua Kumpulan The Anson Stompers, Ahmad Muammar Yusof, 21, berkata dia memang ada belajar asas muzik tapi dia tidak tahu mengenai kewujudan Stompers di KKTI ini.

“Apabila saya mendaftar di kolej ini, setelah semester pertama, saya dapati mereka mempunyai sebuah kumpulan yang bermain muzik daripada alat-alat terbuang. Jadi, daripada situ, timbul minat saya untuk menyertai Stompers ini.

“Saya memainkan alat utama iaitu Xylopipe yang diperbuat daripada paip PVC yang mempunyai melodi, dibina berdasarkan not dari piano.

Ahmad Muammar yang meminati muzik menganggap Stompers ini sangat menghiburkan.

“Apabila kita belajar di kolej, kita rasa tertekan, maka bermain muzik dengan cara ini dapat menghilangkan tekanan kita.

“Dari segi pembelajaran pula, bagi saya terpulang kepada cara pelajar itu membahagikan masa. Kalau dia bijak, maka, pembelajaran tidak akan menganggu muzik, muzik juga tidak akan mengganggu pembelajaran,” ujar pelajar jurusan Animasi 3D itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (mengibarkan Jalur Gemilang) ketika 'flag off' Konvoi KMN 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (mengibarkan Jalur Gemilang) ketika ‘flag off’ Konvoi KMN 2017. / Foto: Irwan Shah

The Ant Stompers ditemui ketika Pelancaran Konvoi Kembara Merdeka Negaraku (KMN) 2017 Peringkat Negeri Perak, di sini, semalam yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Ini merupakan lokasi ke-33 konvoi KMN 2017 dan merupakan yang terakhir di negeri Perak. Sebelum ini, konvoi seramai 107 peserta dengan 17 buah kenderaan dan 30 buah motosikal berkuasa besar pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan telah ke pelbagai negeri termasuk Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Hari ini, KMN 2017 akan meneruskan jelajah mengibarkan Jalur Gemilang ke negeri Selangor sebelum ke lokasi terakhir di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.

Tinggalkan komen anda