Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

9 Beradik Kongsi Beli Rumah Untuk Ayah

By 5 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Hamidah Md Drus / Foto: Norhayati Shamsu Anuar (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 5 Sep (Malaysiaaktif) – “Kami sembilan beradik berkongsi belikan rumah untuk ayah. Kami sepakat untuk tidak membuat pinjaman bank sebagai tanda terima kasih kami kepada ayah”.

Demikian kata Sarimah Amer, 44 ketika ditemui di Majlis Penyampaian Kunci Rumah Mampu Milik (RRM) Jenis A di Taman Senimas Beting petang semalam.

Rumah Jenis A, Taman Senimas

Rumah Jenis A, Taman Senimas

Ayahnya, Amer Idris, 82 yang kini menetap di rumah rakyat Melang akan berpindah ke rumah baharu bersama cucunya. Sarimah melahirkan rasa bersyukur kerana telah memiliki sebuah rumah yang lengkap dan selesa dengan harga mampu milik.

“Saya harap agar kerajaan bina lebih banyak rumah seperti ini di kawasan yang lain. Masih ramai yang belum mampu memiliki kediaman sendiri kerana harga rumah melebihi RM100 ribu, malah ada juga yang mencecah RM200 ribu,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan, berkata penyampaian tersebut merupakan yang pertama di Negeri Sembilan.

“Pada 27 Mei 2015, Kerajaan Negeri telah melancarkan Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang antara lain bermatlamat untuk menangani permasalahan kenaikan harga rumah dalam pasaran.

Mohamad bersama Penerima Kunci

Mohamad bersama Penerima Kunci

“Isu-isu perumahan terutamanya berkaitan harga dan kemampuan untuk memiliki rumah jika tidak ditangani akan terus memberikan implikasi negatif terhadap masyarakat. Oleh itu, jalan keluar yang terbaik ialah melalui kewujudan rumah mampu milik di setiap kawasan.

“Jika sebelum ini, Dasar Perumahan yang ada hanyalah memberikan fokus kepada rumah kos rendah sebanyak 30% sahaja. Dasar ini didapati tidak lagi bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Pendapatan masyarakat semakin meningkat dan tuntutan untuk memiliki rumah pada kadar harga yang bersesuaian dengan pendapatan menjadi sangat penting. Hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk membina rumah mampu milik yang dapat diduduki dengan selesa oleh rakyat.

“Rumah berharga RM80 000 ini merupakan mekanisme kawalan harga yang dilakukan oleh kerajaan negeri kerana harga rumah yang sedia ada terlampau tinggi dan tidak lagi mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya.

Mohamad menyampaikan kunci rumah
kepada 129 orang yang berjaya dalam undian di Pekarangan Taman Senimas.

Kerajaan Negeri juga melalui Unit Perumahan akan membuka permohonan bagi 1,157 unit Rumah Mampu Milik Jenis A iaitu 831 unit di Mambau, 153 unit di Sungai Gadut, Seremban, 16 unit di Sikamat, 48 unit di Tampin, 49 unit di Kuala Pilah 60 unit di Sendayan selepas ini.

Pemaju Senimas Development Sdn Bhd yang menyelenggara Rumah Mampu Milik Jenis A ini juga telah membangunkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) jenis rumah sesebuah (banglo) yang pertama di Malaysia.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Beting, Nur Iman Johari, 53, memberitahu, dengan adanya kawasan perumahan ini, pembangunan dapat dilihat khasnya di DUN Juasseh.

“Dahulunya tempat ini hanya hutan belantara tetapi telah dibangunkan dengan kawasan tempat tinggal serta universiti,” jelasnya.

SF

Tinggalkan komen anda