Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Anak Merdeka Bangga Sertai ‘Kayakku, Negaraku’

By 10 September 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Tanggal 31 Ogos 1981, merupakan tarikh keramat bagi Siti Aslinda Mohd Dullah, 36, salah seorang peserta program Dayungan ‘Kayakku, Negaraku’ anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Labuan dan Persatuan Kanu Labuan, di sini, petang semalam.

Tarikh tersebut merupakan hari kelahirannya yang membuatkan dirinya terasa dekat dengan sambutan kemerdekaan yang disambut setiap tahun.

“Sebagai anak merdeka, program-program sebegini amat signifikan bagi saya untuk turut serta bagi menzahirkan rasa sayang saya kepada negara Malaysia yang tercinta.

“Semangat cintakan negara bukan sahaja boleh diserlahkan melalui kata-kata mahupun kibaran Jalur Gemilang, bahkan melalui program riadah juga seperti Dayungan ‘Kayakku, Negaraku’ ini yang disertai oleh warga Labuan mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan mereka,” ujarnya yang merupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan.

Anak Merdeka, Siti Aslinda Mohd Dullah.

Anak Merdeka, Siti Aslinda Mohd Dullah.

Seramai 29 orang pendayung utama, yang terlatih, telah berjaya menamatkan kayuhan mereka sejauh 50 kilometer mengelilingi Pulau Labuan.

Manakala, peserta pendayung sokongan iaitu amatur seramai 120 orang berjaya menghabiskan kayuhan kayak mereka sejauh satu kilometer dari Pantai Mawila hingga Kompleks Sukan Laut Labuan, di sini.

Tambah Siti Aslinda lagi, program tersebut mampu memberi kelainan dalam menyemai benih-benih patriotisme dalam kalangan para peserta yang tidak semestinya hanya menyertai program-program kenegaraan seperti ceramah kenegaraan, perbarisan dan lain-lain aktiviti kenegaraan yang saban tahun dianjurkan apabila berada di dalam sambutan bulan kebangsaan.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana di samping menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan, program sebegini juga mampu mendidik rakyat menjadi warga yang mementingkan kesihatan di samping beriadah,” jelasnya.

Zulkiffle Mohd Hassim

Zulkiffle Mohd Hassim

Bagi Zulkiffle Mohd Hassim, 45, dia bangga menjadi salah seorang peserta walaupun hanya menjadi pendayung sokongan, namun objektif utamanya adalah untuk menyemarakkan lagi semangat cintakan negara lebih-lebih lagi pada sambutan bulan kebangsaan ini.

“Walaupun ini merupakan kali pertama saya mencuba sukan berkayak, ia tidak menghalang saya bersama-sama dengan para peserta yang lain yang begitu bersemangat menyertai program tersebut di samping merayakan sambutan Hari Malaysia akan datang”, katanya.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohd Hazan Dahari.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohd Hazan Dahari.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohd Hazan Dahari, program Dayungan ‘Kayakku, Negaraku’ diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan warga Labuan.

“Sambutan Hari Malaysia Peringkat Labuan 2017 akan disambut esok (hari ini), jadi melalui program ini, dilihat mampu memeriahkan lagi sambutan tersebut.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (tengah) menyempurnakan pelepasan para peserta pendayung sokongan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (tengah) menyempurnakan pelepasan para peserta pendayung sokongan.

“Saya bangga melihat penyertaan yang begitu mengalakkan bukan sahaja dalam kalangan belia Labuan bahkan para pemimpin masyarakat dan kakitangan awam juga turut sama menyokong usaha kami dalam menyemarakkan lagi semangat cintakan negara di samping memupuk cara hidup yang sihat melalui sukan berkayak,” tambah Mohd Hazan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang turut merasmikan pelepasan para peserta pendayung sokongan.

 

-DZ

 

Tinggalkan komen anda