Skip to main content
HomeViral

Rakyat Beri Penghormatan Akhir Kepada Almarhum Sultan Kedah

By 12 September 2017Tiada komen1 minit bacaan

ALOR SETAR, 12 Sept — Orang awam daripada pelbagai lapisan masyarakat memenuhi Balai Penghadapan Istana Anak Bukit di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Istiadat penghormatan terakhir untuk orang awam itu bermula pada 11 pagi hingga 12.30 tengah hari diikuti golongan kenamaan pada 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Mohd Kamal Che Lah, 35, berkata dia datang ke istana sejam awal kerana bimbang terlepas peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum baginda.

“Saya sedih bila mendapat tahu berita kemangkatan Almarhum baginda. Sebagai anak jati Kedah, saya tidak mahu terlepas untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Kedah yang telah memerintah negeri selama 59 tahun,” katanya.

Sementara itu, pesara guru, Tei Siew Kee, 62, berkata dia datang untuk melihat dan memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum baginda yang juga merupakan penaung Persatuan St John Negeri Kedah.

“Saya pernah duduk makan semeja dengan Almarhum baginda kerana saya merupakan bendahari persatuan. Kenangan itu memang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

“Saya sedih dan menangis apabila mendapat tahu mengenai kemangkatan Almarhum baginda, jadi saya datang untuk ucap selamat tinggal sebagai penghormatan kepadanya, ” kata Tei.

Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mangkat semalam pada usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Sultan berjiwa rakyat ini menghembuskan nafas terakhir pada 2.30 petang, di Istana Anak Bukit.

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1390508

Tinggalkan komen anda