Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Sambut Hari Kebangsaan Bersama, Tepikan Fahaman Politik

By 12 September 2017Tiada komen2 minit bacaan
Arthur mengetuai perarakan merdeka tersebut bersama penduduk kampung.

 

Laporan / Foto : Wenny Di Tian Soh (Sabah)

KENINGAU, 11 September (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan program Konvoi Hari Malaysia Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mapuah Kampung Penagatan Laut meriah dan bebas persengketaan walaupun berbeza fahaman politik.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup  berkata keamanan yang di kecapi pada hari ini tidak harus dicemari dengan persengketaan hanya kerana kita berbeza fahaman politik.

Jelasnya, rentetan perjuangan nenek moyang kita yang berpenat-lelah berkorban, berjuang demi kebebasan harus menjadi tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan ini demi generasi akan datang.

krt1

“Setiap tahun, kita menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, oleh itu semangat kemerdekaan ini harus diteruskan bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian perpaduan antara masyarakat.

“Kesefahaman dan toleransi mampu meningkatkan ekonomi negara serta memacu pembangunan negara ke arah yang lebih jauh,” ujarnya lagi ketika merasmikan Program Konvoi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mapuah Kampung Penagatan Laut di Padang SK Penagatan pada ahad.

Tambahnya, semangat merdeka perlu dihayati oleh semua generasi bermula daripada bangku sekolah lagi agar kanak-kanak memahami erti kemerdekaan dan seterusnya memupuk rasa cinta kepada negara dan mempertahankan kedaulatannya.

krt2

Sementara itu, penduduk Kampung Penagatan Laut menyambut baik penganjuran julung kalinya acara berkenaan di kampung mereka yang terletak dalam kawasan pedalaman.

Seorang penduduk, Raini Muslin, 43, berkata pemilihan kampung itu sebagai tempat penganjuran acara ini membuktikan kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada penduduk, terutama di kawasan luar bandar.

“Ini pertama kali program seperti ini diadakan di kampung kami dan kami berterima kasih kepada kerajaan menerusi Kawasan Rukun Tetangga KRT Mapuah yang telah memilih kampung ini sebagai lokasi program.

Bagi Pengerusi KRT Mapuah, Penagatan Laut, Muhadi Limpatuk, 54, penganjuran program seperti ini dapat memberi pendedahan luas kepada masyarakat pedalaman terhadap pentingnya kecintaan kepada negara.

“Dengan adanya program sebegini masyarakat akan lebih memahami perlunya bersatu dan seterusnya mengelakkan dari terpengaruh dengan dakyah yang memecahbelahkan perpaduan kehidupan penduduk di sini  walau serba kekurangan namun mempunyai semangat perpaduan yang  amat tinggi”, Jelasnya.

Senada dengan pendapat itu, Pegawai Penggerak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pedalaman Atas, Kahirin Bador, 41, berkata beliau tidak menyangka program yang pertama kali diadakan di kampung ini mendapat sambutan yang amat baik daripada penduduk.

“Mulanya kita hanya menyasarkan kehadiran sekitar 100 orang penduduk, tetapi tidak menyangka ianya melebihi anggaran hingga mencecah lebih 200 orang.”

Majlis  turut diserikan dengan acara senamrobik, pertandingan mewarna kanak-kanak dan konvoi perarakan merdeka mengelilingi kampung tersebut.

Turut hadir Pegawai Perpaduan Zon Pedalaman Atas, John Aping, Pengerusi KRT Mapuah Kg. Penagatan Laut, Muhadi Limpatuk, Wakil Ketua Anak Negeri, Rusnin Muin, Ketua kampung dan Pengerusi JKKK serta penduduk Kg. Penagatan Laut.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda