Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Hari Malaysia-Nikmat Negaraku, Sehati Sejiwa!

By 13 September 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Zuraidah Ahmad / Foto : Perpustakaan Foto Japen Sabah 

KOTA KINABALU, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Hari Malaysia akan tiba tidak lama lagi. Sama ada sedar atau tidak, sudah lebih lima dekad tiga wilayah bergabung membentuk sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Bahkan pada hari ini, rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung mampu hidup bersama-sama dengan aman sentosa, membangunkan negara serta mempertahankan tanah air tercinta dan bebas berasimilasi di mana-mana demi menyuburkan integrasi nasional.

Rakyat Malaysia yang meraikan Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan

Rakyat Malaysia yang meraikan Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan

Menurut wartawan, Mustapa Lakawa, 37, dari Keningau, dia mula berhijrah ke Semenanjung sejak 1999 ketika melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.

Pada 2004, dia memulakan karier sebagai wartawan akhbar terbitan Kumpulan Utusan, Kosmo. Mustapa pernah menjadi Ketua Biro di Terengganu pada 2010, sebelum berkhidmat di negeri sendiri pada 2012 hingga 2016 dan  terlibat secara langsung dalam liputan media Ops Daulat dan Tragedi Gempa Bumi Sabah. Kini, Mustapa kembali bertugas di Ibu Pejabat Kuala Lumpur.

“Menjadi rakyat Sabah yang berpeluang menimba pengalaman di Semenanjung merupakan pengalaman yang luar biasa bagi orang kampung seperti saya.

“Melihat sendiri pembangunan negara dibentuk daripada pelbagai sudut sebagai seorang pengamal media, sesungguhnya, saya berasa sangat bertuah kerana kewujudan Malaysia telah membuka peluang seluas-luasnya buat anak-anak Sabah menimba pengalaman serta berkongsi budaya dan sosioekonomi,” kongsi Mustapa.

Begitu juga dengan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Almain Ajirul yang memegang jawatan tersebut sejak 25 April 2016. Almain ialah Pengarah Penerangan Sabah, selepas tiga tahun menjadi Pengarah Penerangan Johor.

Almain kini bertugas di Putrajaya.

Almain kini bertugas di Putrajaya.

“Saya amat bangga dengan kemajuan dan kejayaan Malaysia. Walaupun baru ditubuhkan 54 tahun yang lalu, tetapi kini memiliki pembangunan dan kemudahan infrastruktur yang setanding negara-negara maju.

“Inilah antara kesungguhan kepimpinan negara kita dengan kerjasama padu rakyat dan pastinya, perpaduan kaum dan keharmonian mantap yang telah mmbawa Malaysia ke tahap ini,” ujar Almain.

Dalam pada itu, selama 40 tahun di Sabah, membuat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BTC, Datuk Abdul Kadir, 60, yang berasal dari Setiawan Perak mengagumi keharmonian kaum di negeri di bawah bayu, yang padanya amat berbeza dengan Semananjung.

“Di sini sangat harmoni dan unik, walaupun ada pelbagai agama, bahasa, suku kaum tetapi kita tetap hidup bersatu hati dan saling menghormati.

“Dalam adik-beradik, hanya saya berkahwin dengan wanita dari Semenanjung. Abang-abang saya berkahwin dengan wanita berbangsa Dusun, Bajau dan Cina. Malah, menantu sulung saya ialah wanita Kadazan dari Penampang,” katanya sambil berseloroh.

Lain ceritanya dengan Jurufoto Jabatan Penerangan Sabah, Abdullah Sani Ariff Lokman, 27, anak jati Kelantan yang suka mengembara memilih Sabah sejak Ogos 2014 atas kehendaknya sendiri. Dia meninggalkan tempat bertugas lama, di Kementerian Pengajian Tinggi dan kampung halaman demi mencari pengalaman dalam hidupnya.

“Oleh sebab Sabah paling jauh, jadi saya pilih Sabah dan mendapat galakan daripada orang tua. Pada zaman teknologi ini, tidak susah untuk berhubung kerana ada telefon pintar yang boleh buat panggilan video.

Abdul Kadir (tiga dari kanan) bersama isteri dan anak serta cucu yang sudah menetap 40 tahun di Sabah.

Abdul Kadir (tiga dari kanan) bersama isteri dan anak serta cucu yang sudah menetap 40 tahun di Sabah.

“Kita juga sudah ada penerbangan terus dari Kota Kinabalu (BKI) ke Kota Baharu Kelantan (KBR) yang hanya mengambil masa selama dua jam 30 minit. Jadi agak mudah untuk balik kampung,” jelas Ariff yang telah menjelajah ke lebih 10 negara.

Sementara itu, Siti Norayaisah Bujang, 27, yang berasal dari Kuching berkata tiada sebarang masalah kerana suasana dan budaya hidup berbilang kaum sama saja seperti di Sarawak,”  katanya Anggota Tugas Am di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu sudah empat tahun bertugas di Sabah, kini aktif sebagai Artis Budaya Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan belum merancang untuk balik ke kampung.

Bagi ayah kepada tiga anak berasal dari Papar, Koperal Ruslin Abdullah, 45, pula tempoh 30 tahun bermaustatin di Sarawak memberitahu suasana dengan Sabah tidak jauh beza. Dia yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Sarikei akan balik ke kampung pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Dari segi budaya tiada beza sangat, saya boleh makan makanan Sarawak dan isteri saya orang Sarawak sekarang sudah mahir masak menu tradisi Sabah. Dari segi perjalanan tu, saya yakin Projek Pan Borneo akan memberi manfaat dengan memendekkan masa perjalanan untuk ke Sabah dan sebaliknya,” kata Ruslin.

Manakala Ahli Perniagaan dan juga Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Al Hambra Tun Dr Juhar, 34, tarikh keramat 16 September perlu terus diingatkan kepada generasi muda menerusi sambutan yang dirayakan seluruh lapisan masyakat.

“Saya sarankan sambutan Hari Malaysia diteruskan supaya generasi depan tahu dan menghargai sejarah pembentukan Malaysia. Apabila masyarakat di tiga-tiga wilayah saling memahami dan menghormati sensitiviti masing-masing, maka lahirlah masyarakat yang dikagumi dunia iaitu rakyat 1Malaysia yang sehati dan sejiwa,” luahnya penuh berharap.

Muniyamma turut menyukai masakan tradisi Sabah.

Muniyamma turut menyukai masakan tradisi Sabah.

Setuju dengan pendapat Al Hambra, Pembantu Penerbitan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Muniyamma Marapen berkata pengalaman dua tahun bertugas di Sabah mengajar dirinya lebih berfikiran terbuka, menerima perbezaan dan merai persamaan.

“Marilah kita raikan perbezaan, utuhkan persamaan dan kekalkan persahabatan. Kekalkan sikap saling menghormati agama, bangsa dan adat kaum masing-masing. Hari Malaysia perlu dirayakan seperti Hari Kebangsaan 31 Ogos, kedua-duanya sama penting,” kata Muniyamma.

Hari Malaysia membawa makna yang signifikan untuk seluruh rakyat negara ini. Setiap individu tidak kira dari wilayah mana berupaya menyumbang kepada negara kerana inilah nikmat Negaraku Sehati Sejiwa.

-SF

Tinggalkan komen anda