Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Tidak Sangka Minat Bikin Video Menang Pertandingan

By 15 September 2017Tiada komen3 minit bacaan
Muhammad Hasnul Hadi (kanan) bersama Ahmad Akrami Rasmi menang kategori B (video 5 minit) Pertandingan Video Kesedaran dan Hak-hak Golongan Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2017.

 

Laporan dan foto oleh: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Kesukaran ahli keluarganya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), memberi inspirasi kepada seorang anak muda untuk menghasilkan video untuk menyertai Pertandingan Video Kesedaran dan Hak-hak Golongan Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2017.

Menurut Muhammad Hasnul Hadi, 24, datuk saudaranya yang terpaksa dipotong kakinya kerana komplikasi kencing manis selalu menceritakan kesusahan menjalani kehidupan.

“Datuk saudara yang mengalami kesusahan untuk menguruskan diri atau pergi mandi, telah memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan video ini namun tidak disangka berjaya menjadi pemenang pertandingan ini,” jelasnya.

Hasnul ditemui selepas majlis penyampaian hadiah oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Azizah Mohd Dun yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, pagi tadi.

Ahmad Akrami Rasmi ketika menerima hadiah daripada Datuk Azizah Mohd Dun

Ahmad Akrami Rasmi (kanan) ketika menerima hadiah daripada Datuk Azizah Mohd Dun

Pelajar UIAM yang meminati bidang sinematografi itu, bersama rakannya, Ahmad Akramin Rasmi, 24, berjaya memenangi kategori video pendek berdurasi lima minit.

“Menghasilkan video ini dijadikan sebagai hobi sahaja, namun seorang rakan memberi cadangan agar menyertai sebuah pertandingan video anjuran UIAM dan KPWKM ini.

“Video berdurasi lima minit ini dihasilkan dalam masa sebulan lebih melibatkan 15 orang, termasuk pelakonnya dan mengisahkan tentang kegigihan seorang OKU yang tidak suka orang biasa memandang rendah golongan tersebut,” ujar Akramin.

Mohammad Muhazzir Mohd Huzaini menang Kategori A (video 45 saat) Pertandingan Video Kesedaran dan Hak-hak Golongan Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2017

Mohammad Muhazzir Mohd Huzaini menang Kategori A (video 45 saat) Pertandingan Video Kesedaran dan Hak-hak Golongan Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2017

Manakala, pemenang video 45 saat, Mohammad Muhazzir Mohd Huzaini, 22, terkejut dengan kemenangan yang diperolehi kerana ini merupakan percubaan pertamanya menyertai pertandingan seumpama ini yang disifatkan hanya sebagai suka-suka.

“Video yang dihasilkan dalam masa sebulan ini menceritakan tentang seorang OKU yang berbakat besar dan masyarakat perlu melihat bakat terpendam golongan tersebut, bukannya melihat kekurangan yang ada pada mereka.

“Masyarakat tidak perlu memandang rendah golongan OKU kerana mereka juga mempunyai kelebihan dan tidak perlu dicemuh atau dipandang rendah,” ujar pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu.

Sementara itu, Azizah memaklumkan pertandingan video ini merupakan pertama kali dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang OKU.

Datuk Azizah Mohd Dun (dua dari kiri) ketika merasmikan gimik majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Kesedaran dan Hak-hak Golongan Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2017 di UIAM pagi tadi.

Datuk Azizah Mohd Dun (dua dari kiri) ketika merasmikan gimik majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Kesedaran dan Hak-hak Golongan Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2017 di UIAM pagi tadi.

“Walaupun telah banyak kemudahan dan keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan untuk golongan OKU tetapi sekiranya tahap kesedaran masyarakat terhadap OKU masih rendah, maka semua undang-undang, dasar atau pelan tindakan yang dilaksanakan itu akan gagal,” tegasnya.

Pertandingan ini merupakan anjuran bersama KPWKM, Kelab Ibnu Ummi Maktum (I-MaC) dan Unit Perkhidmatan Kurang Upaya UIAM serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sebanyak 49 permohonan diterima untuk kedua-dua kategori iaitu Kategori A, video 45 saat mengenai pengumuman perkhidmatan awam dan Kategori B video pendek 5 minit.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda