Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Tarian Mengalai Mewarnai Sambutan Hari Malaysia 2017

By 16 September 2017September 18th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Diyana Zamri (Putrajaya)

KOTA KINABALU, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Tarian Mengalai merupakan tarian warisan turun-temurun kaum Bajau Semporna sambil diringi dengan alat muzik tradisional Kulintangan.

Pengunjung di Pameran Malaysia Inklusif Digital (MINDA) sempena Sambutan Hari Malaysia 2017 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas, di sini, dihiburkan dengan tarian tersebut, siang tadi.

Ahli tari Pusaka di bawah Komuniti 1Malaysia (K1M) Bahagian Sandakan, Nor Azlin Hussien, dan Mohd Eizlan Budin, masing-masing 19 tahun, mempersembahkan tarian tersebut dengan penuh bertenaga hingga mengundang sorakan daripada pengunjung.

Azlin (kiri) dan Eizlan antara pelapis muda tarian tradisional ini.

Azlin (kiri) dan Eizlan antara pelapis muda tarian tradisional ini.

Menurut Nor Azlin, tarian penuh gemalai ini sinonim dengan perkahwinan kerana mengisahkan tentang si lelaki yang sedang berusaha untuk memikat si perempuan.

“Tarian ini selalunya mengambil masa selama 15 minit bagi setiap persembahan, dan kami berlatih dalam dua hingga tiga jam bagi satu sesi,” ujarnya yang telah dua tahun mempelajari seni tari ini.

Manakala, pasangan tarinya, Mohd Eizlan pula telah 13 tahun mempelajari pelbagai seni tari, termasuk seni Tarian Mengalai ini.

“Selalunya kami dipanggil untuk membuat persembahan ini di majlis-majlis perkahwinan, majlis khatam Al-Quran, adat bercukur jambul, dan program-program yang lain, seperti pameran.

“Selain itu, kami turut membuat pelbagai persembahan, termasuk tarian Melayu, Cina dan India mengikut kemahuan penganjur,” jelasnya yang memang meminati bidang tarian sejak kecil lagi.

Dalam keasyikan menyaksikan tarian pasangan ini, kelihatan seorang penari ketiga memasuki tarian tersebut sambil memegang duit tunai lalu menyelitkan ke celah-celah jari penari-penari tersebut.

Penari ketiga tersebut merupakan Timbalan Pengerusi Permuafakatan Komuniti 1Malaysia Sabah merangkap pengurus pasangan ini hari ini, Jijah Majid, 51.

“Perbuatan itu dikenali sebagai ‘sabot-sabot’ dan kebiasaannya dibuat oleh tuan rumah yang menjemput penari-penari tersebut,” ujarnya yang ditemui di pameran K1M, petang tadi.

K1M, Jabatan Penerangan Malaysia merupakan salah satu daripada 41 agensi dan 10 servis bergerak yang terlibat dengan pameran MINDA ini termasuk syarikat telekomunikasi dan penyiaran.

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda