Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Hidangan Ambuyat Tonjol Keunikan Makanan Sabah

By 16 September 2017September 18th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KOTA KINABALU, 16 Sep (Malaysiaaktif) – “Puas rasanya dapat memperkenalkan makanan tradisi Sabah, Ambuyat, kepada bukan sahaja orang Sabah, tetapi juga orang luar yang datang memeriahkan sambutan Hari Malaysia pada hari ini”.

Demikian kata ketua cef, Munah Masir, 49, dari Kampung Klias Kecil, Beaufort ketika ditemui sewaktu menyediakan hidangan kepada pengunjung pameran Komuniti 1 Malaysia (K1M) bersempena Pameran Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) di Kompleks Sukan Kota Kinabalu petang tadi.

Munah yang ditemui bersama rakannya, Siti Nafsiah Suhaili, 53, berkata mereka ditugaskan untuk menyediakan makanan tradisi orang Sabah, Ambuyat.

Cef bertugas dari kiri Munah Masir, Siti Nafsiah Suhaili (tengah) dan Jelimah Ibrahim (kanan), menunjukkan cara penyediaan ambuyat.

Cef bertugas dari kiri Munah Masir, Siti Nafsiah Suhaili (tengah) dan Jelimah Ibrahim (kanan), menunjukkan cara penyediaan ambuyat.

“Ambuyat ini memang biasa kita makan tetapi cara penyediaannya berbeza. Lain kaum lain penyediaannya.

“Sejak awal pagi kami sediakan ikan basung yang dimasak ampap, ikan basung cara kampung, kuahnya guna udang galah yang dibakar tambah asam, limau kasturi, lada, asam jawa bagi dia sedap

“Sayur kami sediakan umbut rotan, pucuk perotan, kari ayam dan sayur kubis,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi cef, Jelimah Ibrahim, 46, dari Kampung Rancangan Klias menjelaskan keistimewaan ambuyat ini terletak pada rasa cicahnya yang berbeza.

“Lawar udang yang disediakan istimewa. Udang galah yang dibakar, dihiris halus, kemudian kita letak air panas.

“Kepelbagaian etnik seperti Kaum Bisaya, Brunei, Kadayan, Kadazan, Dusun, menambahkan kemeriahkan, khasnya apabila penyediaan ambuyat ini dilakukan secara bergotong-royong untuk kenduri,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi pengunjung, Ija Iyah, 46, dari Kampung Petagas berkata kepelbagaian makanan yang ada di Malaysia ini membuatkan Malaysia unik.

Antara pengunjung yang mencuba keenakan ambuyat.

Antara pengunjung yang mencuba keenakan ambuyat.

“Malaysia terdiri daripada banyak bangsa. Kepelbagaian itu yang menyebabkan kita unik. Semua etnik ada makanan istimewa masing-masing.

“Misalnya, ambuyat yang diperbuat daripada sagu ini. Rasanya seperti laksa. Kalau di Sabah bukan semua tempat yang ada. Cuba banyak di Sandakan dan Semporna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Irene Silvirinus, 53, dari Penampang tidak melepaskan peluang untuk menikmati hidangan ambuyat yang disediakan.

“Ambuyat ini berasal daripada pokok sagu, sejenis pokok rumbia, yang menjadi kanji, tetapi cecah dengan ramuan asam. Lengkap dengan rasa pedas, rasa belacan yang membuatkannya sedap.

“Ini antara makanan yang menunjukkan identiti etnik Sabah. Bukan senang nak buat kerana prosesnya agak leceh,” jelasnya yang berharap agar Malaysia terus aman dan sentosa.

Dalam pada itu, MINDA yang melibatkan sebanyak sejumlah 41 agensi dan 10 perkhidmatan bergerak diadakan untuk menghubungkan rakyat, membina masyarakat bermaklumat dan merangsang ekonomi digital akan berlangsung sehingga esok.

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda