Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaRencana & PendapatSabahViralWilayah Persekutuan

Malaysia: Kekuatan Dalam Kepelbagaian Etnik

By 17 September 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Diyana Zamri (Putrajaya)

KOTA KINABALU, 17 Sep (Malaysiaaktif) – “Perbezaan harus dilihat sebagai satu kekuatan. Kita unik, jadi itu kita harus jadikan sebagai kekuatan. Perbezaan bukan sebagai liabiliti, perbezaan sebagai satu aset, boleh dijadikan sebagai pendorong, penarik antara satu sama lain yang boleh kita pertahankan bersama.”

Demikian kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian ketika bercakap kepada Aktivis Negaraku Sehati Sejiwa pada Pameran Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) Kluster Komuniti 1Malaysia di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas, di sini semalam.

Jelasnya, jangan dipisahkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kita lihat terdapat kebergantungan di antara satu sama lain walaupun banyak pihak melihat dari segi perbezaan.

“Kalau tidak ada kemerdekaan 1957, tidak mungkin wujud tahun 1963, negara Malaysia. Dan, tanpa Malaysia 1963, barangkali kita tidak melihat diri kita bersama-sama di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Agak mudah untuk merobohkan apa yang telah kita bina, agak sukar untuk membina apa yang telah kita lihat sepanjang 54 tahun ini. Tidak boleh kita benarkan mana-mana pihak yang mahu merobohkan apa yang telah kita bina selama ini.

“Ini merupakan soal integrasi. Malaysia mengamalkan integrasi nasional. Kita tidak amalkan asimilasi. Kedua-dua perkara tersebut itu berbeza. Contohnya, kalau saya berkahwin dengan Neelofa, maka akan wujudlah asimilasi,” ujarnya mengundang tawa anak-anak muda aktivis di situ.

Prof Dr Sivamurugan Pandian (kanan)

Prof Dr Sivamurugan Pandian (kanan)

Tambahnya lagi, Malaysia masih mengamalkan integrasi di mana kita boleh amalkan kekuatan dari segi keetnikan kita.

“Kita hormati, faham dan menerima perbezaan di antara satu sama lain. Dan sebolehnya, pada masa akan datang, kita akan terus pertahankan apa yang kita bina supaya negara akan terus kekal aman, sentosa dan sejahtera.

“Jadi, peranan anda sebagai generasi baru itu amat penting dalam pertahankan apa yang telah kita bina hari ini. Bukan orang lain, tetapi anda sebagai seorang warganegara yang paling bertanggungjawab ke atas negara ini,” katanya.

Prof Dr Sivamurugan Pandian dan Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong (tengah) bersama Aktivis Negaraku Sehati Sejiwa.

Prof Dr Sivamurugan Pandian dan Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong (tengah) bersama Aktivis Negaraku Sehati Sejiwa.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong menegaskan perlunya ada identiti negara dalam identiti peribadi rakyat.

“Kita ada gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara (kebangsaan), tetapi nampaknya rakyat kita tidak menyokong identiti nasional bahasa Melayu sebagai bahasa negara itu dalam identiti peribadi mereka.

“Tidak seperti di Indonesia. Identiti kebangsaan mereka salah satunya melalui bahasa Indonesia dan kita dapat lihat, setiap rakyat Indonesia bukan sahaja fasih berbahasa negara, tetapi mereka bangga terhadap bahasa Indonesia, mereka sayang mereka setia kepada bahasa Indonesia itu.

“Kita di sini, kita ada gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Itulah identiti kebangsaan kita. Tetapi nampaknya dalam kalangan rakyat tertentu terutamanya dari golongan bukan Melayu, ada yang kurang fasih, ada yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung sedangkan bahasa Melayu itu bahasa negara kita,” ujarnya.

Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong (kiri)

Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong (kiri)

Tambah Kok Seong, dari segi pembangunan bangsa, negara Malaysia masih belum sempurna dan banyak lagi yang perlu dilakukan.

“Mengapa kita gagal? Bagi saya, kerana kita ada konsep tetapi tidak ada pelan tindakan yang baik. Kalau ada peluang, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan , perlu ada pelan tindakan sosialisasi.

“Dari segi pembangunan bangsa, manusia Malaysia itu, kita masih, saya kira, banyak usaha lagi yang perlu dilakukan dan pelajar-pelajar sebagai anak-anak muda ini perlulah bantu dengan beri kerjasama dalam program-program kerajaan.

“Kepada pelajar-pelajar dan generasi muda, untuk membangunkan negara itu, nak buat bangunan, nak bangunkan universiti dan membangunkan manusia itu supaya manusia Malaysia ini betul-betul jiwa Malaysia, merupakan satu proses yang lama,” tegasnya.

WhatsApp Image 2017-09-17 at 12.41.08 AM

Pameran MINDA yang diadakan bermula 15 hingga 17 September ini diadakan sempena Sambutan Hari Malaysia 2017 dan menumpukan kepada pameran mengenai teknologi komunikasi, ICT, dan perkhidmatan jalur lebar.

Sebanyak 41 agensi kerajaan dan swasta dan 10 perkhidmatan bergerak terlibat dalam pameran MINDA ini termasuk Kementerian Dalam Negeri, Astro, Telekom Malaysia Berhad dan Perbendaharaan Malaysia Sabah.

– AH

Tinggalkan komen anda