Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kritikan, Aduan Masyarakat Dorong Bangunkan Kawasan

By 6 Oktober 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Vicky S.Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Kritikan dan aduan daripada masyarakat setempat dapat dijadikan dorongan untuk membangunkan kawasan pentadbiran setempat.

Penolong Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kota Belud, Datu Jafrin Datu Anggol berkata, setiap kritikan dan aduan yang diterima sebagai dorongan untuk pihaknya sentiasa bekerja dengan lebih baik lagi.

“Kita sentiasa mendapat sokongan daripada penduduk di daerah ini di samping turut menerima kritikan atau aduan daripada mereka.

“Ini tidak dapat dielakkan namun pihak kami sentiasa menjadikan kritikan dan aduan tersebut sebagai panduan dalam usaha membangunkan daerah ini.

“Alhamdulillah, dengan penganugerahan ini, kita dapat menangkis segala tohmahan dan membuktikan kita benar-benar bekerja untuk masyarakat,” ujarnya.

Jafrin berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Anugerah Lima Bintang pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Kerajaan Negeri Sabah, di Dewan Bankuasi Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Rabu.

Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Hasbi Abdul Ghaffar (tengah) bersama para pegawainya.

Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Hasbi Abdul Ghaffar (tengah) bersama para pegawainya.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah sama, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS), Hasbi Abdul Ghaffar berkata, adalah bukan mudah untuk menguruskan wang kerajaan yang memerlukan sikap integriti yang tinggi.

“Selain memastikan setiap kakitangan mempunyai integriti yang tinggi, sikap kerjasama dan komited dalam melaksanakan tugasan juga menjadi faktor utama kecemerlangan tersebut.

“Dari semasa ke semasa, perbincangan melalui mesyuarat jawatankuasa pengurusan kewangan dan perakaunan dilaksanakan, selain taklimat serta latihan diberikan kepada kakitangan tentang cara untuk melaksanakan proses kerja, peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi agar mereka dapat berkerja dengan lebih jujur, amanah dan berintegriti,” katanya.

Majlis Daerah Kota Belud dan SPANS merupakan antara 22 penerima anugerah berkenaan bagi 2016 yang membawa pulang wang tunai RM15 ribu, plak piuter dan sijil penghargaan.

Musa (duduk, tengah) Sukarti (duduk, tiga dari kiri) dan Khalid Khan (duduk, tiga dari kanan) bersama para penerima anugerah.

Musa (duduk, tengah) Sukarti (duduk, tiga dari kiri) dan Khalid Khan (duduk, tiga dari kanan) bersama para penerima anugerah.

Antara penerima lain bagi anugerah tersebut ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Pembangunan Pembangunan Infrastruktur, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Pegaliran dan Saliran, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDA), Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, Pejabat Daerah Tuaran; Pejabat Daerah Papar, Pejabat Daerah Tongod, Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Papar, Majlis Daerah Tenom, Majlis Daerah Nabawan, Majlis Daerah Kuala Penyu dan Majlis Daerah Beluran.

Manakala sebanyak 25 penerima Anugerah Lima Bintang 2015 antaranya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Arkib Negeri Sabah, Perbadanan Pinjaman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

SF

Tinggalkan komen anda