Dahulu Nak Jadi Sekuriti, Kini Jadi Guru Cemerlang Asia

IMG_9428

Laporan: Nur Azean Makbul / Foto: HirniezahTabin (Sabah)

KOTA BELUD, 8 Okt (Malaysiaktif) – ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’ itulah perumpamaan yang dapat digambarkan terhadap seorang guru bahasa Inggeris, Sirhajwan Idek, penerima dua anugerah terkemuka dunia iaitu Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa dan penerima biasiswa International Association of Teachers of English As A Foreign Language (IATEFL).

Semasa seusia kanak-kanak Sirhajwan pernah menyatakan bahawa cita-citanya ingin menjadi seorang sekuriti, mungkin bagi kaca matanya ketika itu kerjaya tersebut suatu yang menyeronokkan kerana menjadi pengawal keselamatan untuk kesejahteraan semua terutama di sekolah.

Namun, cita-cita tersebut berjaya mengubah nasib anak bungsu daripada tujuh beradik ini kepada suatu yang cukup membanggakan keluarganya terutama ibu dan ayahnya.

Mesra dengan panggilan Asai dalam kalangan ahli keluarga tentunya dia punya cerita tersendiri semasa zaman kanak-kanak hingga mencipta kejayaan tersebut.

Ibu, Bintek Abdul Rahman berkata, sesungguhnyadia tidak menyangka dan terlintas terhadap kejayaan yang diperoleh Asai ini apatah lagi dia yang manja sehingga mula bersekolah pada usia sembilan tahun disebabkan sikapnya yang manja tidak mahu berpisah dengan ibunya.

Asai (tengah) bersama ibu bapanya semasa ditemui di kediaman mereka

Asai (tengah) bersama ibu bapanya semasa ditemui di kediaman mereka

Menceritakan detik kelahiran Asai, Bintek Abdul Rahman yang merupakan bekas guru sekolah rendah berkata ketika melahirkan Asai, dia mengalami masalah tumpah darah tidak seperti anak-anaknya yang lain.

“Begitu juga semasa kanak-kanak, dia tidak seperti kanak-kanak lain, Asai tidak suka ke sekolah walaupun ibunya seorang guru.

” Puas saya dan suami memujuknya ke sekolah. Apa yang dilakukan Asai hanya mengikuti saya ke setiap kelas yang diajar menyebabkan dia tidak dapat mengikuti pembelajaran Tahun 1 dan 2.

Kata Bintek lagi, setelah Asai berusia sembilan tahun dan saya berpindah dari Sekolah Kebangsaan Kesapang ke Sekolah Kebangsaan Pandasan baru Ansai dapat dipujuk memasuki kelas tahun tiga, itu pun terpaksa ditemani kakak kembarnya Norhiani dan Norhayati secara bergilir-gilir.

“Hanya selepas tiga minggu, Asai akhirnya dapat menyesuaikan diri dan terus mendapat keputusan ke 16 dalam peperiksaan dan ini merupakan kejutan kepada saya dan suami kerana dia baru sahaja masuk kelas dan tidak belajar secara formal,” jelas Bintek.

Kecemerlangannya selepas itu seperti tidak dapat ditahan lagi apabila terus mendapat tempat pertama dalam kelas sehingga ke Tahun enam.

Tambah Bintek, Asai sering mewakili sekolah dalam apa-apa sahaja pertandingan terutamanya yang berkaitan subjek bahasa Inggeris dan apabila ditanya apabilakah cita-citanya dengan yakin jawapannya, saya ingin menjadi ‘sekuriti’.

Kecemerlangan anak muda ini semakin terserlah di peringkat sekolah menengah dalam setiap aspek pelajaran yang didudukinya di Sekolah Menengah Agama Tun Said Kota Belud dan akhirnya Asai sekali lagi menjadi kebanggaan negara apabila memenangi Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Paris, 18 hingga 25 September yang lalu anjuran Academic Conferences and Publishing International Limited (ACPI).

“Kejayaan ini terlalu manis buat dirinya dan keluarga. Allah SWT membalas segala usaha dan penat lelahnya dengan kemenangan ini, segalanya ialah urusan Tuhan, kami pasrah apabila setiap kali Asai terpaksa ke luar negara untuk mengejar kerjayanya, hanya doa kami yang mengiringinya”, ujar ibunya.

Bagi ayah yang hanya ingin kenali sebagai Idek, kejayaan ini memang luar biasa tetapi bukan kejutan kerana mereka sudah biasa mendengar mahupun menerima pujian atas kejayaan Asai kerana Asai sentiasa melakukan yang terbaik, fokus dan tidak pernah kenal putus asa dalam setiap perkara yang dilakukannya.

“Kami hanya perlu terus berdoa agar dia tidak mudah lupa dengan apa yang dia peroleh. Sesungguhnya kami juga turut bersyukur kerana Allah memudahkan dan memberikan kejayaan kepadanya,” kata Idek.

Rapihi Derim @ Wasihim, Pengetua Sekolah Menengah Agama Tun Said.

Rapihi Derim @ Wasihim, Pengetua Sekolah Menengah Agama Tun Said.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menangah Agama Tun Said, Rapihi Derim @ Wasihim turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian bekas pelajar sekolah terbabit walaupun ketika Asai belajar di sekolah terbabit saya bukan pengetua sekolah terbabit ketika itu tapi saya merasai tempias hasil kejayaan tersebut.

Katanya, walaupun saya bukan pengetua pada ketika Sirhajwan menjadi pelajar di sini, kejayaannya secara tidak langsung mengaitkan nama sekolah dan telah memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar malah menjadikan Sirhajwan sebagai ikon mereka.

Sekolah yang terletak di sebuah tapak tanah perbukitan yang indah atas hadiah seorang tokoh politik Datuk Seri Salleh Tun Said yang ingin menjadikan pendidikan asas kecemerlangan kini menjadi realiti cipta kejayaannya.

Falsafah sekolah ‘Melahirkan Teknokrat Mutadayyim’ dan motto ‘Bani Manang’ yang dipegang berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti dan berjaya dengan asas keagamaan yang kukuh.

Rapihi berkata berkat kejayaan ini saya bercadang untuk menjemput alumni SMA Tun Said termasuklah Sirhajwan untuk sama-sama berkongsi serta memberikan motivasi kepada para pelajar dalam usaha mengekalkan pencapaian sekolah cemerlang.

Jelasnya lagi, ketika ini SMA Tun Said merupakan sekolah tempat pertama di Sabah dan berada dalam 10 tangga teratas untuk aspek Pengurusan Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) sempena Karnival Imtiyaz SMKA dan SABK 2017.

Mohd Sirhajwan Idek atau Asai ketika ditemui berkata berkat kejayaan ini membolehkan dia terus menghasilkan sesuatu terutama dalam kerjaya menulis dan membuat kajian.

Katanya lagi, kemenangan keduanya baru-baru ini iaitu penerima biasiswa International Association of Teachers of English As A Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing mengkehendakinya terus mengkaji.

“Penerima biasiswa tersebut mencakupi 31 kategori yang dibiayai 25 organisasi pemenang selain menerima penajaan perlu turut menghadiri Persidangan IATEFL di Brighton, United Kingdom pada 9 hingga 13 April, tahun depan.

Menceritakan projek yang dihasilkannya hingga membawa kemenangan penerima biasiswa berkenaan adalah ‘aplikasi berasaskan pembelajaran untuk memberi motivasi kepada pelajar agar lebih kreatif dan yakin menggunakan bahasa Inggeris.

Jelasnya, saya menghasilkan projek kategori Expreress Publishing yang bersaing dengan 220 pemohon seluruh dunia dan saya berjaya.

“Kejayaan ini melayakkan saya membentangkan projek berkenaan di Persidangan IATEFL di Brighton, April tahun depan.

“Oleh itu, kejayaan demi kejayaan yang saya peroleh ini sebenarnya suatu permulaan kepada cabaran seterusnya. Saya berharap projek ini nanti mampu menjadi platform pendidikan masa akan datang,” jelasnya semasa ditemui di rumahnya pada Khamis.

SF

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...