Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Sarawak Antara Contoh Terbaik Pengurusan Bencana – Shahidan

By 8 Oktober 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto : Aishah Latip / Chua Choon Sim

KUCHING, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Pelbagai program komuniti dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun ini di Sarawak dengan memberi tumpuan kepada tempat seperti rumah panjang terpilih, kawasan-kawasan pinggiran dan pusat bandar.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Shahidan Kassim, Sarawak antara contoh terbaik dalam pengurusan bencana peringkat daerah dan komuniti yang dikenali sebagai Pasukan Respons Kecemasan Komuniti Community Emergency Respond Team (CERT) sebagai penggerak tindakan awal bagi menghadapi bencana.

Portable Fire Pump yang disumbangkan kepada 15 pasukan CERT di Sarawak.

Portable Fire Pump yang disumbangkan kepada 15 pasukan CERT di Sarawak.

“Program-program ini diselaraskan oleh Unit Keselamatan Negeri Sarawak (UKN) dengan kerjasama semua agensi di dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN).

“Kerajaan Persekutuan telah membuat penambahbaikan mekanisme penilaian risiko bencana di mana kerajaan telah melabur dalam projek-projek tebatan banjir di seluruh negara dan projek penghasilan peta bahaya dan risiko banjir dan tanah runtuh,” ujarnya.

Shahidan menambah, kerajaan turut mewujudkan program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) untuk memperkasakan bencana di semua peringkat pengurusan yang melibatkan komuniti setempat.

“Melalui program sebegini, rasa kepunyaan dan tanggungjawab terhadap persekitaran yang berisiko bencana dapat dihayati oleh komuniti berkenaan,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017 di Tebingan Sungai Sarawak siang tadi.

Simulasi penyelamat yang dipertontonkan sempena Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017 di Tebingan Sungai Sarawak.

Simulasi penyelamat yang dipertontonkan sempena Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017 di Tebingan Sungai Sarawak.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abd Rashid Harun, dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Mejar Jeneral (B) Dato KPJ (PA) Azmy Yahya.

Menurut Penghulu Haji Dahlan Man, 55, dari Asajaya, Samarahan beliau begitu teruja apabila pertama kali menyertai CERT ini.

“Program ini sangat bagus kerana banyak menerapkan sikap sukarelawan di kalangan masyarakat di samping memberi kesedaran serta kesiapsiagaan semasa menghadapi bencana,” ujar Dahlan.

Pada masa yang sama, Hamina Haji Habli, 54, telah dilantik menjadi ahli CERT bermula tahun lepas.

“Ahli-ahli CERT ini merupakan responder pertama di tempat kejadian yang bertindak membantu menstabilkan keadaan sebelum tibanya agensi keselamatan dan bantuan kecemasan profesional,” katanya.

Hamina turut menzahirkan rasa teruja beliau untuk berganding bahu bersama ahli-ahli CERT yang lain bagi menjaga kawasan di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa yang seringkali mengalami banjir pada penghujung tahun.

Dalam majlis yang sama, syarikat Petronas menyumbangkan sebanyak RM450 ribu untuk tujuan pembelian Portable Fire Pump yang akan diagihkan kepada 15 pasukan CERT di Sarawak.

Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak turut menerima dua buah Amphibious Flood Rescue Craft bagi memudahkan proses pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan.

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda