Pesara ATM Disaran Aktif Dalam Persatuan Veteran

atm

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

DARO, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan insan yang sudah cukup matang dan mempunyai tanggungjawab yang telah diselesaikan sehingga menjadikan Malaysia negara aman sehingga sekarang.

Menurut Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Abu Seman Jahwie, mereka ini telah berbakti kepada negara dan seluruh rakyatnya melalui perjuangan mereka menjaga keamanan negara.

“Tanpa ATM negara kita tidak mungkin aman seperti sekarang. Disebabkan itulah setiap pesara, veteran dan anggota ATM yang masih ada sekarang hendaklah sentiasa diraikan melalui apa juga acara atau sumbangan bakti.

Latip Mawi menerima sumbangan yang disampaikan.

Latip Mawi menerima sumbangan yang disampaikan.

“Kita mengetahui bahawa di daerah Matu dan Daro ini kita memiliki seramai 130 orang ahli yang telah menyertai Persatuan Veteran ATM, namun kita mahu semua yang masih belum ikut serta agar bertindak menyertai persatuan sekarang.

“Saranan seperti ini sangat penting agar Persatuan Veteran ATM terus aktif. Mereka perlu bergerak bersama-sama dan jangan bergerak secara seorang diri. Ia juga diharapkan agar semua ahli memainkan peranan masing-masing. Kerana jika kita sudah berada dalam kelompok yang ramai maka kita akan lebih berani”, jelas Abu Seman lagi.

Abu Seman turut memaklumkan tidak menjadi masalah sekiranya veteran ATM ini dilantik memegang jawatan sebagai pemimpin dalam persatuan.

“Melalui pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada, mereka akan mampu mengerjakan segala tanggungjawab sebagai pemimpin juga,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Veteran Kelainan Upaya (VKU) di Dewan KEMAS di sini semalam.

Seramai lapan orang penerima yang terdiri daripada veteran ATM yang mendapat kecacatan ketika dan selepas berkhidmat mempertahankan keamanan negara suatu ketika dahulu.

Latip Mawi dari Mukah yang telah berkhidmat bersama Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang  cedera semasa operasi,  mengucapkan terima kasih kerana semua bekas ATM masih diingati oleh pihak yang berkuasa dan dimana-mana sahaja bekas ATM atau mana-mana badan beruniform masih tetap diraikan walaupun sudah lama tidak berkhidmat.

“Walaupun kami sudah lama berhenti berkhidmat dalam ATM namun segala pengalaman dan kemahiran dalam pertempuran semasa dalam ATM dulu masih melekat dalam hati kami,” ujarnya.

-SH/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...