Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurPutrajayaWilayah Persekutuan

Wong Penghasil Foto Ikonik Kemerdekaan Negara

By 9 Oktober 2017November 27th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah/Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Nama Michael Wong Swee Lin mungkin asing bagi ramai rakyat negara ini, namun hasil karyanya menjadi lambang ikonik negara, terutama ketika Hari Kebangsaan menjelang tiba.

Foto Tunku Abdul Rahman mengangkat tangannya ketika mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka merupakan hasil bidikannya 60 tahun yang lalu dan terus dikenang hingga hari ini.

Antara koleksi simpanan Wong merakamkan gambar Almarhum Tunku.

Antara koleksi simpanan Wong merakamkan gambar Almarhum Tunku.

Pada usia 91 tahun, Wong kini sudah tidak selincah dahulu kerana beliau kini terlantar uzur sejak tiga bulan yang lalu. Biarpun begitu, Wong masih ingat saat-saat beliau merakamkan peristiwa bersejarah tersebut menggunakan kamera jenis Speed Graphic.

“Pada waktu tersebut, kelengkapan tidaklah secanggih sekarang. Apa sahaja yang diberikan, kita gunakan sebaik mungkin, kerana apa yang penting adalah hasilnya bukan peralatannya,” tuturnya lemah memberi nasihat berharga kepada jurugambar Jabatan Penerangan yang turut hadir menziarahi Wong di kediamannya baharu-baharu ini.

Menurut Wong, pada waktu tersebut, Almarhum Tunku baharu pulang dari London dan terus bergegas ke Melaka bersama-sama rombongannya untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.

“Kenangan merakamkan gambar tersebut merupakan sesuatu yang tidak pernah saya mimpikan selama saya bertugas. Ketika sampai di Padang Pahlawan, Tunku terus naik ke pentas lalu melaungkan ‘Merdeka’. Waktu Tunku mengangkat tangannya ke udara, ketika itulah saya membidik beberapa kali dan hasilnya seperti apa yang dilihat sekarang.

“Melihat Tunku tampil dengan gaya yang sama ketika mengisytiharkan kemerdekaan negara setahun kemudian di Dataran Merdeka membuatkan saya gembira biarpun sedikit ralat kerana bukan saya yang mengambil gambar Tunku kali itu, kerana berada agak jauh dari pentas.

Wong bersama-sama hasil bidikan ikoniknya ; gambar Tunku menjulang tangannya ke udara.

Wong bersama-sama hasil bidikan ikoniknya ; gambar Tunku menjulang tangannya ke udara.

“Kali ini rakan saya, Ng Weng Hong yang ketika itu berada hampir dengan pentas utama berjaya merakamkan gambar Tunku yang penuh memori itu,” ujarnya mengenangkan detik bersejarah tersebut sambil ditemani isterinya, Amy Wong.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka, Jabatan Penerangan, Mohd Roffee Mohamad, pertemuan ini diatur dalam mengangkat serta mengenang jasa mereka yang kurang dikenali umum namun jasa yang diberikan cukup hebat.

 

Wong dikenali sebagai seorang yang cukup kental jiwanya bukan sahaja dalam kerjayanya malah dalam kehidupan peribadinya, apabila pernah terlibat dalam kemalangan tragis sehingga mengorbankan isterinya ketika itu.

Enggan mengenangkan kisah silam tersebut, Wong terus bangkit dan meneruskan kerjayanya sehingga beliau bersara pada tahun 1980-an.

Wong turut berpesan kepada jurugambar muda agar jangan sesekali keluar dari rumah tanpa kamera.

“Kita tidak tahu apa yang akan kita rakamkan itu mempunyai nilai pada esok hari, jadi teruslah merakam,” ujarnya penuh erti.

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda