Skip to main content
Berita TempatanSabah

Lebih 5000 Laman Web Disekat SKMM

By 11 Oktober 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Yahya Abdul Rajak / Foto: Vicky S.Matanjang, Johnny Joklis & Mohd Abdul Rahman (Sabah)

KOTA KINABALU, 11 Okt (Malaysiaktif) – Bermula 2015 sehingga Oktober 2016 sebanyak 5,044 laman web yang melibatkan pelbagai kesalahan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Berdasarkan jumlah tersebut sebanyak 4,277 daripadanya ialah laman web lucah, jelik dan mengancam keselamatan manakala 767 berkaitan isu perjudian, pelacuran, penipuan, cetak rompak dan sebagainya.

Pengarah Yayasan Sabah merangkap Exco Penerangan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad berkata melalui era globalisasi hari ini pelbagai bentuk perhubungan alam maya wujud seperti Facebook, Twitter, Youtube begitu juga saluran pencarian seperti Google dan Yahoo yang menjadi pelengkap kepada dunia Internet tanpa sempadan.

“Hanya semudah klik di hujung jari sahaja mampu membawa manfaat kepada masyarakat untuk mencari informasi pelbagai maklumat.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim turut berkongsi maklumat terhadap jenayah siber.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim turut berkongsi maklumat terhadap jenayah siber.

Jelasnya, berdasarkan kajian pengguna Internet SKMM 2016 menunjukkan kadar penembusan jalur lebar di negara ini mencapai hampir 78 peratus yang melibatkan seramai 24.1 juta pengguna Internet pada 2015.

“Jumlah ini menunjukkan sebanyak 77.6 peratus adalah daripada seluruh penduduk negara kita iaitu Malaysia dan daripada bilangan ini 77 peratus ialah pengguna berumur 15 hingga 40 tahun yang masih ditakrifkan sebagai belia mengikut dasar belia negara.

Tambahnya lagi, berdasarkan kajian ini pihak SKMM mendapati majoriti pengguna Internet di negara ini menghabiskan masa selama tiga jam sehari melayari Internet dan secara puratanya setiap individu memiliki empat akaun media sosial dan menghabiskan masa selama empat jam sehari.

“Senario ini jelas menunjukkan belia merupakan majoriti pengguna Internet dan betapa signifikannya pengaruh Internet dalam kehidupan seharian golongan belia,” ujar Sapawi semasa merasmikan seminar media sosial di sini pada Selasa.

Katanya, daripada indeks pengukuran kesejahteraan belia Malaysia atau indeks belia Malaysia 2015 didapati beberapa isu perlu diberi perhatian seperti keselamatan, kekurangan masa lapang yang bermakna serta masalah salah laku.

“Penekanan kepada penggunaan teknologi komunikasi dan multimedia kalangan belia perlu diberi perhatian agar belia mampu menyumbang kepada pengukuhan dan menyerlahkan potensi modal insan pemacu pembangunan negara sama ada dalam bidang pendidikan, jati diri, gaya hidup sihat sejahtera, kerjaya, keusahawanan dan kepimpinan.

“Dari sudut pandangan lain, kecanggihan teknologi boleh menimbulkan masalah sosial hanya kerana penyalahgunaan dalam kalangan belia,” ujarnya

Sementara itu, peserta yang juga pegawai perhubungan awam,Politeknik Kota Kinabalu, Siti Mariam Aziz Rashid berkata pendedahan yang diberikan pada program tersebut amat baik dan bertepatan terutama kepada golongan belia.

“Penganjuran program ini amat bertepatan terutama personaliti jemputan yang memang pakar terhadap senario media sosial hari ini.

Jelasnya, melalui penyampaian yang bersahaja serta santai membolehkan maklumat sampai kepada kumpulan sasar.

Siti berharap program ini akan diadakan lagi dengan memberi fokus kepada kumpulan sasar yang lebih khusus lagi iaitu pelajar yang lebih terdedah dengan bahaya media sosial selain perlu diperluaskan di peringkat masyarakat luar bandar.

Mohamad Abdul Rahman (kanan) bergambar bersama ikon media sosial Adam Shamil (kiri).

Mohamad Abdul Rahman (kanan) bergambar bersama ikon media sosial Adam Shamil (kiri).

Selain itu, peserta, Mohammad Abdul Rahman dari Papar berkata isi kandungan program membuka minda saya sebagai peserta terutama terhadap statistic yang perlu diambil perhatian semua pihak.

“Pelaksanan program ini wajar terus diadakan bagi memupuk sikap positif pengguna Internet dan bahayanya bukan sahaja kepada belia malah kepada ibu bapa yang perlu sentiasa mengawasi anak-anak.

Mohammad turut mencadangkan agar pelaksanaan program ini pada tahun akan datang agar dapat membawa personaliti yang lebih menarik seperti menampilkan pemilik media sosial itu sendiri.

Dalam pada itu, penceramah dari SKMM Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Irwan Ahmad Sabtu berharap kepelbagaian maklumat yang disampaikan pada program ini merupakan suatu perkongsian maklumat kepada semua pengguna Internet agar menggunakannya secara positif dan tidak menjadi mangsa.

Irwan semasa menyampaikan ceramah mewakili SKMM.

Irwan semasa menyampaikan ceramah mewakili SKMM.

“Perkongsian maklumat yang diberikan ini sebagai panduan kepada pengguna Internet untuk mengelak daripada terjebak dalam perlakuan penyalahgunaan media siber tersebut.

Jelasnya lagi, melalui seminar sebegini SKMM dapat menyebarkan kesedaran kepada masyarakat agar lebih berwaspada melayari media sosial.

Tambahnya, masyarakat boleh memberikan kerjasama bukan sahaja kepada SKMM malah kepada agensi penguatkuasa lain dalam membuat aduan jika mengetahui sebarang penyalahgunaan media sosial berlaku.

“Kerjasama ini penting bagi membolehkan sebarang siasatan dilakukan dengan lebih menyeluruh berdasarkan kepada bukti dan maklumat yang diberikan,” ujarnya.

-SF

Tinggalkan komen anda