Bergadai Nyawa Mengharungi Sungai Untuk Ke Sekolah

ac1004c6-52a7-4c38-8ffe-2050924b189c-1024x679

 

 Laporan dan foto : Nur Faezah Salam /Jaed Tepus / Wirwan Nor Rama (Sarawak)

KUCHING, 12 Okt (Malaysiaaktif) – “Sebelum ini, setiap tahun kami berjalan kaki menggunakan jalan pesisiran pantai dengan bantuan tali jika keadaan laut bergelora dan berisiko untuk menggunakan perahu berenjin untuk menghantar anak-anak yang bersekolah di Sematan.

“Kami perlu berenang apabila melalui sungai dan meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki di sepanjang pesisir pantai demi memikirkan masa depan anak-anak kami,” ujar Mat Sahri, 51, penduduk asal Kampung Temaga Sematan yang berkongsikan keadaan di Sematan.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang kini rancak dibangunkan.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang kini rancak dibangunkan.

Masalah ketiadaan jalan raya yang dihadapi oleh penduduk setempat yang tinggal di kawasan Telok Melano dahulu memaksa mereka berjalan kaki selama lapan jam di sepanjang pesisir pantai untuk sampai ke Pekan Sematan.

Pengangkutan utama yang digunakan oleh penduduk tempatan adalah menggunakan perahu berenjin, namun jika keadaan laut bergelora mereka terpaksa menggunakan cara lain, iaitu dengan berjalan kaki.

Setelah berkahwin, Sahri yang kini menetap di Kampung Telok Melano bersyukur kerana dengan adanya Projek Lebuh Raya Pan Borneo, mereka boleh  menggunakan kenderaan darat untuk ke Pekan Sematan dengan lebih pantas dan selesa.

“Di sini hanya terdapat sekolah rendah, manakala sekolah menengah terletak di Sematan, dengan adanya kemudahan ini akan lebih memudahkan pergerakan pelajar untuk ke sekolah,” jelasnya lagi.

Pergerakan masyarakat di sini agak terbatas dengan ketiadaan perhubungan jalan raya yang sempurna, oleh itu masyarakat setempat bergantung dengan keadaan cuaca untuk keluar mencari rezeki.

Sahri amat berharap pembangunan di Telok Melano terus diberi perhatian oleh semua pihak dan pengalaman berjalan selama lapan jam ke Sematan menjadi titipan kenangan berharga dalam merasai fasa pembangunan di negeri ini.

-SH/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...