Skip to main content
Berita TempatanSabah

Angin Ribut Tropika Cabar Petugas Kinabalu International Climbathon

By 16 Oktober 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Saiful Rahman Sabri & Dr.Mariam George (Sabah)

 KUNDASANG, 16 Okt (Malaysiaktif) – Penganjuran Climbathon yang memasuki tahun ke-10 kali ini di katakan menghadapi cabaran berganda kepada peserta dan petugas apabila tiupan Angin Ribut Tropika Ganas (Khanun) melanda Sabah bermula Sabtu.

Namun begitu, demi tugas yang telah dipertanggungjawabkan, mereka terpaksa mendaki Kinabalu seawal sehari sambil mengharungi hujan dan cuaca sejuk agar dapat merakamkan program bertaraf antarabangsa ini sekali gus memastikan keselamatan peserta terjaga sepenuhnya menjelang hari sebenar.

Edisi ke-30 kali ini, seramai 163 orang petugas termasuk paramedik, bomba, Persatuan Radio Amatur Sabah (SARS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) serta pihak berkuasa Taman-taman Sabah (TTS) bersedia menanti peserta dari pelbagai negara.

Menurut Ketua Paramedik, Dr. Mariam George, pihak paramedik daripada empat hospital telah dibahagikan kepada empat kumpulan utama di  Timpohon, Layang-layang, Laban Rata hingga ke puncak.

Mariam (kiri) bersama petugas Taman-Taman Sabah, SARS dan paramedik di Panalaban Helipad

Mariam (kiri) bersama petugas Taman-Taman Sabah, SARS dan paramedik di Panalaban Helipad

“Ada yang sudah biasa bertugas dalam program ini dan ada yang pertama kali bertugas berdepan dengan cabaran cuaca yang tidak menentu, hujan lebat dengan angin menyebabkan kesejukan.

“Perjalanan mendaki tahun ini cukup mencabar kerana kami mendaki seperti melawan arus air terjun. Badan basah kuyup dan kesejukan ditambah lagi dengan kekurangan oksigen, penyesuaian badan kepada perubahan ketinggian perlu diberi perhatian yang serius kerana setiap individu akan mengalami keadaan ini apabila mendaki,” ujar Mariam.

Tambahnya, mereka hanya mengambil makanan ringan untuk memberi tenaga secukupnya. Ada yang hanya makan makanan tenaga, roti sandwic serta air garam mengikut keperluan sendiri.

“Setelah sampai di Laban Rata, kami akan makan lebih karbohidrat dan banyak minum minuman panas atau sup untuk panaskan sistem peredaran darah dan sistem organ tubuh badan,” katanya.

Jelasnya lagi, disebabkan perubahan altitud dan oksigen ada antara petugas yang tidak dapat tidur lena, disebabkan perlu menjalankan tugas, tidur yang cukup perlu diurus sebaiknya.

“Isu penting bagi pasukan medik dalam cuaca sebegini ialah penyakit ketinggian, hipotermia, kecederaan tulang dan otot serta kekejangan. Kumpulan medik masing-masing ada keperluan bekalan ubat dan peralatan tertentu dan pihak penganjur menyediakan orang yang bertanggungjawab untuk mengangkat barang-barang berat ini.

“Emergency Retrieval Unit (ERU) mempunyai beban peralatan seberat 150kg, kumpulan di puncak membawa beban seberat 15kg, kumpulan yang berkawal sepanjang laluan membawa beban seberat 35kg,” jelasnya.

Kata Mariam, keadaan cuaca akan menentukan kejayaan acara ini serta kerjasama oleh semua agensi, peserta dan petugas menjadi keutamaan bagi pihak penganjur.

Marious ketika bertugas pada Climbathon 2017.

Marious ketika bertugas pada Climbathon 2017.

Sementara itu, menurut Pegawai Komunikasi Radio Amatur, Marious Bongkuloh berkata SARS berperanan membantu mengenal pasti lokasi peserta di setiap hentian.

“Kami menempatkan 15 orang ahli SARS iaitu dua orang di setiap lokasi, manakala 15 orang lagi ditempatkan di bawah untuk menyampaikan maklumat berkenaan keberadaan peserta.

“Tahun ini juga peserta berdepan dengan cuaca yang terburuk hingga petugas mengalami kesukaran yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

“Ada yang hampir menghidap hipotermia walaupun sudah bersedia dan cukup latihan tetapi tetap rasa tercabar dengan keadaan angin, hujan dan suhu,” katanya.

Menurut Marious juga, merupakan satu kelebihan dapat melibatkan diri dalam program antarabangsa ditambah lagi SARS di iktiraf oleh kerajaan dibawah Kementerian Pelancongan.

“Ini umpama kami menyumbangkan sesuatu kepada kerajaan dan masyarakat, walaupun kami sukarelawan tetapi kami bangga dapat menyumbang kepada program kementerian.

“Jadi tidak kira betapa teruk cuaca dan keadaan kami pasti akan harungi juga. Pada yang berminat mencuba sesuatu yang baru dan ingin mencuba sesuatu mungkin boleh menyertai kami di SARS,” katanya.

30th Mt.Kinabalu International Climbathon 2017 disertai seramai 166 peserta dari dalam dan luar Negara.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun.

-SF

Tinggalkan komen anda