Skip to main content
Berita TempatanHomeKedahPutrajayaViral

Program Pewaris Muda Negara Pupuk Perpaduan

By 21 Oktober 2017Oktober 23rd, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto: Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

JITRA, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 102 peserta peringkat negeri dan 51 keluarga angkat dari Kampung Chegar, Kampung Tanjung dan Kampung Pulau Timbul di sini menyertai program Pewaris Muda Negara Peringkat Kebangsaan 2017.

Antara peserta, Hasri Mohd Zain, 52, berkata dia telah banyak kali menyertai program anak angkat seperti ini.

Hasri teruja terima anak angkat pelbagai budaya.

Hasri teruja terima anak angkat pelbagai budaya.

“Kita nak masyarakat Malaysia kita ini bersatu, tak mahu ada perbezaan kaum. Di mana kita pergi sekalipun, sekurang-kurangnya kita ramai kawan. Kalau kita tak suka pada satu-satu kaum lain pun tak guna kita hidup dalam satu Malaysia.

“Program-program begini dapat memupuk perpaduan. Dulu biasa ambil anak angkat orang Iban, budaya Melayu dan budaya mereka itu berlainan, tetapi mereka boleh terima masakan cara kampung di Kedah ini,” katanya.

Hasri yang merupakan bapa kepada enam orang anak ini juga merupakan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chegar, di sini.

“Alhamdulillah sambutan pada kali ini melibatkan peserta dari seluruh Malaysia. Saya pun dapat anak angkat dari Melaka, Perlis dan Kulim, Kedah.

“Setakat yang dah ambil anak angkat ini tak ada masalah. Saya pun dah biasa anak ramai, keluarga ramai dengan cucu-cucu ada duduk di rumah,” katanya lagi.

Tambah Hasri, program ini juga memberi peluang kepada peserta bandar untuk merasai kehidupan masyarakat luar bandar.

“Ada anak angkat yang dari bandar tu kadang-kadang bila nak makan agak kekok makan dengan tangan dan duduk bersila, tetapi sengaja di ajak makan di bawah, nak bagi rasa duduk bersila, dengan yang perempuan duduk bersimpuh” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena program pewaris muda di sini.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena program pewaris muda di sini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman percaya bahawa peserta-peserta program ini akhirnya akan menjadi alumni pewaris muda yang akan bertindak sebagai rakan strategik dan membantu Jabatan Penerangan untuk memasarkan dasar-dasar kerajaan.

“Kita bawa ke satu kawasan yang agak pedalaman bagi memberi ruang kepada peserta untuk merasai kehidupan di pinggir bandar. Dalam konteks pewaris muda ini, kita mahukan mereka mempunyai expedition learning, iaitu dalam negara yang sedang membangun ini, ada lagi kelompok masyarakat yang mengamalkan amalan tradisi.

“Dengan teknologi digital sekarang ini, mereka akan menggunakan laman sesawang Jabatan Penerangan dan juga infografik yang kita hasilkan, termasuk video untuk mereka tularkan kepada masyarakat.

“Setakat ini alhamdulillah, peranan yang dibuat oleh mereka untuk follow Jabatan Penerangan dan juga berkongsi maklumat, video dan infografik yang berkaitan dasar-dasar kerajaan, terutamanya berkaitan dengan TN50 itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik. Dalam konteks itu, masyarakat dan juga peserta itu bukan hanya habis di sini,” katanya.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang bermula pada 19 hingga 22 Oktober ini bertujuan untuk memperkasakan semangat jati diri dan cintakan negara serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan generasi muda berbilang bangsa, agama dan latar belakang melalui aktiviti khidmat masyarakat.

Bagi mendukung aspirasi Tranformasi Nasional 2050 (TN50), peserta didedahkan dengan pengalaman kehidupan dalam suasana desa, mendalam ilmu kepimpinan dan memperkasakan lagi pembudayaan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda