Malaysia Tampil Sebagai Model Di Rantau Asia – Putera Charles

WhatsApp Image 2017-11-04 at 5.17.33 PM

 

 Laporan oleh: Norhazlinawati Mat & Parameswary Lekshmnan / Foto: Maszuandi Adnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Prince of Wales, Putera Charles, kagum dengan pencapaian yang dikecapi Malaysia dalam tempoh 60 tahun kemerdekaan.

Titah Putera Charles, Malaysia kini tampil sebagai model yang kukuh kepada negara lain di rantau Asia Tenggara dari segi kekuatannya dalam bidang perniagaan, pendidikan, sains, keselamatan dan pertahanan, mahupun dalam cara Malaysia beroperasi di peringkat dunia.

Putera Charles bertitah bahawa reputasi global Malaysia dicapai menerusi persefahaman dan perpaduan merentasi sempadan agama serta masyarakat dan merupakan aset berharga yang semakin hilang di dunia kini.

Baginda bertitah demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Gala anjuran Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia, di sini semalam.

Putera Charles dan isteri baginda Camilla, Duchess of Cornwall mengadakan lawatan sulungnya ke Malaysia pada 2 November hingga 8 November bagi meraikan ikatan persahabatan antara United Kingdom (UK) dan Malaysia.

Pasangan Diraja Britain menghadiri Majlis Makan Malam Gala, di sini semalam.

Pasangan Diraja Britain menghadiri Majlis Makan Malam Gala, di sini semalam.

“Persahabatan dinamik dan positif UK dan Malaysia adalah sejarah yang perlu diperkukuhkan lagi supaya terus makmur dan berjaya pada masa akan datang,” titah Putera Charles yang juga merupakan pewaris takhta Britain.

Menurut baginda, penghormatan dan persefahaman adalah asas kuat yang ditekankan apabila Malaysia menjadi sebahagian daripada negara Komanwel bagi membangunkan kepercayaan dan keutuhan jalinan dalam kejayaan serta keselamatan bersama.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut berangkat sama dalam lawatan rasmi pasangan Diraja Britain sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara UK dan Malaysia ini.

Pasangan Diraja Britain, Prince Charles dan Duchess of Cornwall, Camilla bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor

Pasangan Diraja Britain, Prince Charles dan Duchess of Cornwall, Camilla bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hubungan diplomatik antara UK dan Malaysia terjalin sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957 setelah British memerintah Tanah Melayu selama 133 tahun (1824~1957).

– AH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...