Skip to main content
Home

300 Warga UniKL Teruja Sertai Misi Bantuan Kemanusiaan

By 11 November 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK. 11 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 300 warga Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan teruja menjadi sukarelawan misi bantuan kemanusiaan di Pulau Pinang yang dilanda banjir besar.

Mereka berjaya mengumpul  sukarelawan warga UniKL dan dana berjumlah RM60,000 dalam masa dua hari setelah misi tersebut dilancarkan oleh universiti tersebut Selasa lalu.

Sukarelawan yang ditemui, Siti Nurul Husna Ismail, 21, berkata ini merupakan kali pertama beliau menyertai misi kemanusiaan seumpama ini setelah melihat iklan daripada pihak pengurusan yang memerlukan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Saya terpanggil untuk membantu selepas melihat kesusahan mangsa banjir yang kini berada dalam serba kekurangan - Nurul Husna

Saya terpanggil untuk membantu selepas melihat kesusahan mangsa banjir yang kini berada dalam serba kekurangan – Nurul Husna

“Saya terpanggil untuk membantu mangsa banjir di sana apabila melihat kesusahan mereka termasuk warga tua serta kanak-kanak yang kini berada dalam serba kekurangan. Tambahan pula saya berasal dari negeri Kelantan yang sering dilanda banjir, maka saya amat memahami perasaan mereka ketika ini,” katanya.

Tambah Husna, walaupun tidak mempunyai ahli keluarga atau kenalan di Pulau Pinang tetapi atas rasa kesedaran ingin membantu mangsa banjir yang di dalam kesusahan, beliau menawarkan diri untuk menyertai sukarelawan misi kemanusiaan tersebut.

Seorang lagi sukarelawan, Luqman Ashraff Md Akib, 21, berkata pengalaman ahli keluarga beliau yang pernah terlibat banjir memberi motivasi kepadanya untuk turut serta sebagai sukarelawan untuk membantu mangsa tersebut dalam pelbagai bentuk.

Menurut pelajar jurusan automotif ini, “kemusnahan yang dihadapi mangsa banjir sangat besar dan memberi trauma kepada mereka. Ternyata mereka amat memerlukan sokongan yang kuat daripada semua pihak untuk memulihkan semula semangat dan memulakan kehidupan mereka.

“Usaha UniKL ini sangat baik dan ramai lagi pelajar-pelajar yang ingin sertai namun ia dihadkan dan saya berharap misi ini memberi contoh kepada pihak-pihak lain untuk turut serta membantu mangsa banjir di Pulau Pinang,” ujarnya.

 Mazliham menyerahkan kotak makanan kepada Ketua Konvoi, Prof Datuk Dr Khairanum Subari yang akan diagihkan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Mazliham menyerahkan kotak makanan kepada Ketua Konvoi, Prof Datuk Dr Khairanum Subari yang akan diagihkan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Sementara itu, Presiden UniKL, Prof. Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud, berkata misi ini merupakan kali keempat dibuat menerusi program UniKL CARE @ Penang mendapat sambutan luar biasa daripada warga UniKL sehingga terpaksa mengehadkan 276 pelajar dan selebihnya warga kerja dari 12 kampus seluruh negara.

“Sukarelawan akan berada di Pulau Pinang bermula hari ini hingga 12 November untuk mengedarkan makanan, barangan keperluan, bantuan pembersihan dan pemeriksaan kesihatan kepada mangsa terjejas.

“Sumbangan yang akan diagihkan berupa 864 pek makanan segera yang ditaja Brahim, 50 dapur gas memasak, 28 cerek elektrik, 20 unit penapis air dan 7,200 botol air mineral jenama UniKL dan seramai 30 sukarelawan dari UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) juga akan memberi bantuan pemeriksaan kesihatan di klinik bergerak,” katanya.

Menurut beliau lagi, selain bantuan kepada orang awam, Tabung Kebajikan Siswa UniKL memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM200 seorang kepada 108 keluarga pelajar dan lima kakitangan UniKL yang dilapor terjejas dalam bencana ini.

“Kami turut berbesar hati kerana misi ini telah mendapat perkenan dari Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan menjunjung kasih di atas kurniaan sumbangan peribadi baginda dalam bentuk wang tunai ke dalam tabung bantuan kali ini,” katanya pada Majlis Pelepasan UniKL Care @ Penang Mission di UniKL British Malaysian Institute, di sini, semalam.

– SH

Tinggalkan komen anda