OKU Antara 5,165 Orang Graduan UIAM

IMG-20171111-WA0008-1024x683

 

 Laporan dan Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 11 Nov (Malaysiaaktif) – “Jangan jadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran, malah ia adalah pembakar untuknya mengenggam segulung ijazah seperti orang normal yang lain,” demikian luah Nurina Mohd Suhuli, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dan Seni Reka (Kepujian) yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mendapat Anugerah Pencapaian Khas (Akademik) Abdullah Ibnu Ummi Maktum, berterima kasih kepada pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kerana membantu menyediakan kemudahan yang bersesuaian seperti kerusi, meja dan tempat letak kereta khas untuknya.

Nurina menunjukkan ijazah miliknya kepada ibu dan bapanya di Majlis Konvokesyen UIAM di Kampus Gombak, siang tadi.

Nurina menunjukkan ijazah miliknya kepada ibu dan bapanya di Majlis Konvokesyen UIAM di Kampus Gombak hari ini.

“Walaupun orang lain sering memandang sinis kebolehan saya disebabkan status OKU, namun semua itu tidak saya hiraukan dan terus fokus kepada pelajaran untuk membuktikan saya juga boleh berjaya,” ujarnya yang berhasrat mendapatkan pekerjaan sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana.

Beliau merupakan salah seorang daripada 5,165 graduan UIAM yang menerima ijazah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen UIAM Ke-33 yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 November di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak, di sini.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Di Raja, Siti Aisyah Mohd Ramli, 24, bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa, rakan-rakan dan pensyarah yang banyak membantu dan memberi dorongan sepanjang beliau belajar.

“Cabaran utama semasa belajar adalah masa kerana banyak masa perlu dikorbankan termasuk tidak dapat bersama keluarga tetapi saya sangat gembira ketika bersama pesakit saya sehingga hospital telah menjadi rumah kedua,” ujar graduan bidang perubatan yang berasal dari Kuantan ini.

Pada majlis konvokesyen kali ini, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang undang-undang sebagai tanda penghargaan universiti atas jasa dan penambahbaikan sistem perundangan negara.

Rais membuka sidang pertama majlis konvokesyen dan menyampaikan skrol kepada para graduan.

Rais membuka sidang pertama majlis konvokesyen dan menyampaikan skrol kepada para graduan.

Sementara itu Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim memaklumkan Pertubuhan Kerjasama Islam Antarabangsa (OIC) dan Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) akan bekerjasama dengan UIAM untuk mewujudkan sistem piawaian bagi menentukan standard dan capaian cemerlang dalam bidang akademik serta kualiti-kualiti yang lain.

“Kerjasama ini akan dapat memulakan beberapa langkah utama mewujudkan piawaian ini supaya kita mempunyai penilaian Islamiah di samping Standard Kualiti (QS) yang digunakan semua universiti di seluruh dunia, UIAM terlibat sebagai sekretariat dan ini akan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya.

Jelas Rais, UIAM turut memberi tumpuan kepada Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC) yang dijenamakan semula setelah hanya menumpukan kepada dunia Islam di Timur Tengah, kini dikembangkan ke dunia Islam nusantara berkaitan kajian tamadun, kebudayaan dan isu-isu semasa seluruh dunia.

Beliau yang juga Penasihat Sosio Budaya bagi Kerajaan Malaysia menjelaskan UIAM akan terus gigih mendalami bidang kewangan dan perbankan Islam yang diperjuangkan oleh universiti itu sejak sekian lama sehingga UIAM menjadi pusat pengajian utama bidang tersebut di negara ini.

-SH/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...