Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Sarawak Dragons Juarai Regatta Sarawak 2017

By 13 November 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 13 Nov (Malaysiaaktif) – Pasukan tempatan, Sarawak Dragons A menumpaskan 22 pasukan lain daripada tujuh negara bertanding untuk muncul juara final Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa Regatta Sarawak 2017 di Tebingan Kuching semalam.

Pertandingan anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri ini bertujuan untuk mempromosikan negeri Sarawak kepada masyarakat luar seterusnya menjayakan Tahun Melawat Miri yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

Menurut urusetia pertandingan, Jee Chin Fu, penyertaan tahun ini lebih meriah dengan penyertaaan pelbagai peringkat usia.

“Tahun ini peserta termuda berusia 12 tahun dari Thailand manakala peserta tertua ialah dari Australia yang berumur 71 tahun.

“Acara Regatta Bot Naga ini juga akan dianjurkan setiap tahun dan sempena merayakan Festival Air Kuching dan berharap lebih banyak lagi penyertaan dari negara luar untuk siri-siri akan datang,” ujarnya.

Sebahagian daripada peserta bertanding.

Sebahagian daripada peserta bertanding.

Sementara itu menurut jurulatih fizikal dari pasukan Sarawak Dragons, Landas George Awi, 44, mereka membuat latihan sejak bulan Ogos yang lalu dan ternyata latihan mereka tidak sia-sia kerana bukan sahaja memenangi pertandingan kali ini malah berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Untuk kategori International Premier Open (20 krew) Sarawak Dragon A mengesahkan kejuaraan selepas mencatat masa terpantas 1.39.56 mengatasi dua pencabar lain iaitu Landas Sarawak A dengan mencatat masa 1.39.75, dan PODSI Kubu Raya dari Indonesia dengan catatan masa 1.40.01.

Juara perlumbaan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5 ribu ringgit, tempat kedua sebanyak RM 4 ribu ringgit manakala tempat ketiga membawa pulang sebanyak RM3 ribu ringgit dan tempat keempat RM1 ribu ringgit.

Malaysia menghantar penyertaan terbesar sebanyak lapan pasukan iaitu dari Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Perak. Pasukan-pasukan lain termasuklah dari Brunei Darussalam, Australia, Singapura, Indonesia, Thailand, dan Filipina.

Perlumbaan selama 3 hari ini melibatkan beberapa acara saringan dalam kategori International Premier Open (20 kru), International Premier Mixed (12 kru), International Premier Ladies (12 kru), dan International Premier Master Open(12 kru).

 

– SH

 

Tinggalkan komen anda