Anugerah Galak Premis Sedia Makanan Bersih, Selamat

64FE35F1-E3BF-45F0-9ADC-1A811EB8B295

Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 14 Nov (Malaysiaaktif)– “Majlis Anugerah Keselamatan Makanan 2017 ini adalah untuk memberi penghargaan kepada para pemenang Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat 2017 bagi Peringkat Kebangsaan serta Peringkat Negeri yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan”.

Demikian ujar Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari pada Majlis Anugerah Keselamatan Makanan 2017 Peringkat Labuan 2017 di Pentas Anggeric Square Ujana Kewangan, semalam.

Tambahnya, ini juga dalam usaha untuk memberikan penghargaan kepada pengusaha kilang makanan yang telah mendapat Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) 2017.

“MeSTI ialah satu skim di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) untuk industri makanan terutamanya kapada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memenuhi keperluan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Sebanyak tiga buah kilang makanan mendapat Pensijilan MeSTI pada tahun ini iaitu Chin Wui Trading, Yun Kwong Mee dan Kway Teow Trading serta MM Lian Soon Noodles Factory menjadikan jumlah keseluruhan kilang makanan yang telah mendapat Pensijilan MeSTI di Wilayah Persekutuan Labuan ialah 31 buah kilang.

“Anugerah ini juga bagi meraikan premis makanan yang telah mendapat Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) 2017 yang juga merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada premis makanan yang telah berjaya memenuhi keperluan dalam komponen keselamatan makanan dan komponen pemakanan. Setakat ini sebanyak 20 buah premis makanan telah mendapat Pengiktirafan BeSS.

“Tujuannya adalah untuk menggalakkan pengusaha premis makanan menyediakan makanan yang selamat dan sihat kepada pelanggan. Dengan itu, pelanggan mempunyai pilihan untuk memilih makanan yang lebih sihat dan lebih baik untuk kesihatan dengan persekitaran premis yang bersih,” tegasnya.

Tambah Ismuni lagi, majlis tersebut turut meraikan pemenang bagi Anugerah Kantin Bersih 2017 yang diberikan kepada sekolah dan pengusaha kantin sekolah yang telah memenuhi kriteria Anugerah Kantin Bersih 2017 iaitu mendapat markah pemeriksaan premis 86% ke atas bagi dua kitaran sepanjang 2017 dan melaksanakan penilaian pemeriksaan sendiri kantin sekolah (KENDIRI).

Alisnah Sulaiman

Alisnah Sulaiman

Sementara itu, wakil penjaja makanan Medan Selera Pasar Sentral yang muncul johan kategori A bagi Anugerah Medan Selera Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan serta tempat ketiga bagi peringkat kebangsaan, Alisnah Sulaiman 55, berkata galakan daripada Jabatan Kesihatan Labuan serta Pihak Perbadanan Labuan terhadap pentingnya menjaga kesihatan di premis makanan mereka merupakan azimat yang berguna sehinggakan berjaya muncul johan.

“Gotong-royong menjaga kebersihan di premis perniagaan makanan mereka sentiasa diamalkan oleh seramai 13 orang penjaja makanan yang terdapat di Medan Selera Pasar Sentral tersebut bagi merealisasikan kejayaan tersebut,” ujar Alisnah lagi.

Sahar Misron

Sahar Misron

Dalam pada itu, Pengetua Sekolah Menengah Pantai IB World Labuan yang menjadi Johan Anugerah Kantin Bersih 2017 kategori Sekolah Menengah, Sahar Misron, 57 tahun, berkata segala panduan kebersihan makanan yang diberikan kepada pengusaha kantin sekolah tersebut tidak diambil enteng.

“Pihak kami sentiasa memantau kualiti kebersihan makanan yang disajikan kepada para pelajar.

“Ini menunjukkan bahawa pengusaha makanan telah mula menanam kesedaran tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan khususnya di kantin-kantin sekolah. Sajian makanan yang sihat dan berkualiti menjamin tahap pembelajaran yang baik dalam kalangan para pelajar,” jelasnya

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Senator Dewan Negara Labuan, Datuk Bashir Alias.

SF

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...