Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

100 Tahun : SKSB Ke Arah Institusi Unggul Pembangunan Modal Insan

By 15 November 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Norieza Abd Ghafar (Klang)

MERU, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Dengan slogan “Akhlak Pertama, Akademik Utama, Kokurikulum Ternama, SKSB Berjenama”, Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai (SKSB), Meru, di sini terus melakar kecemerlangan dalam mendidik anak bangsa biarpun menjengah usia seabad.

SKSB merupakan sekolah tertua dan pertama sekali dibina di Meru, pada tahun 6 Oktober 1917 bermula dengan hanya 49 orang murid ketika itu.

Sekolah ini mula dibina dengan menggunakan kayu dan papan oleh masyarakat Melayu Jawa bagi membolehkan anak-anak mereka mendapatkan pendidikan yang sepatutnya.

Faizal ketika merasmikan Seabad SKSB, di sini.

Faizal ketika merasmikan Seabad SKSB, di sini.

Kini, bilangan kakitangan dan gurunya seramai 186 orang, dengan jumlah bilangan muridnya seramai 3, 232 orang merangkumi sesi pagi dan petang yang merupakan antara jumlah bilangan murid teramai di negara ini.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Faizal Abdullah, pencapaian cemerlang SKSB dalam bidang pendidikan sangat-sangat dihargai dan perlu diberi penghargaan.

“Saya begitu teruja diberi penghormatan untuk melancarkan sambutan 100 tahun SKSB, dan saya ucapkan tahniah kepada warga SKSB kerana telah menjadi salah satu institusi unggul pembangunan modal insan di sini,” ucapnya ketika merasmikan sambutan seabad tahun SKSB, disini semalam.

Faizal turut menjelaskan, kerajaan persekutuan cukup komited dan memberi penekanan yang sangat tinggi dalam pembangunan modal insan bermula dari pra sekolah hingga universiti.

“Sebanyak 25% hingga 28% daripada perbelanjaan negara dibelanjakan saban tahun untuk sektor pendidikan.

“Ini menunjukkan penekanan serius diberikan kerajaan dalam soal pendidikan dengan hasrat dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, serta berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga negara,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyampaikan surat kelulusan peruntukan sebanyak RM500 ribu bagi pembinaan dataran sekolah berbumbung agar dapat menampung pertukaran sesi pembelajaran murid dan memberi keselesaan murid-murid semasa perhimpunan rasmi sekolah serta aktiviti-aktiviti sekolah yang lain.

Azman cukup berbangga menjadi sebahagian warga SKSB.

Azman cukup berbangga menjadi sebahagian warga SKSB.

Mantan Guru Besar SKSB yang ditemui, Azman Mingan, 59, yang telah bersara pada 1 Februari yang lalu menyatakan program sebegini sangat bagus bagi mengingati sejarah penubuhan sekolah ini dan jasa-jasa sekolah ini kepada masyarakat serta komuniti sekitarnya.

“Semasa berkhidmat di SKSB, saya telah mendapat kerjasama yang sangat baik daripada guru-guru bahkan daripada pihak Pendidikan Daerah.

“Kerja mesti dilakukan dengan rasa seronok dan itulah pesanan saya kepada mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan khususnya,” kata Azman lagi.

Sementara itu, Norhaiza Muslih, 47, Pembantu Operasi sekolah yang telah berkhidmat selama 8 tahun di sekolah tersebut menyatakan perasaan teruja pertama kali menyambut sambutan 100 tahun sekolah ini yang diadakan dengan meriah lagi.

“Komitmen dan kerjasama yang baik daripada mantan guru dan alumni turut memainkan peranan bagu menjayakan majlis ini.

“Saya cukup berbangga dengan pencapaian guru-guru di SKSB ini yang pada awalnya bermula daripada peringkat bawahan kemudian berjaya mencapai ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar Norhaiza lagi.

Majlis turut dihadiri Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Meru, Khairul Anuar Saimun, Penolong Pengarah Kanan Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Johari Mohd Noh, serta Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Kokurikulum Akademik (Menengah), Pejabat Pendidikan Daerah Klang, Zuhairi Auzai.

-SH

Tinggalkan komen anda