Skip to main content
Berita TempatanLabuanWilayah Persekutuan

Sekolah Lestari Wujudkan Suasana Kondusif

By 21 November 2017Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 21 Nov (Malaysiaaktif)– Pelancaran Program Sekolah Lestari di Sekolah Kebangsaan Pekan II Wilayah Persekutuan Labuan, diharapkan bukan sahaja dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di dalam kelas mahupun di luar kelas  bahkan pada masa yang sama juga mendidik pelajar untuk mencintai alam sekitar.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan II, Jaafar Matusin pada Majlis Pelancaran Program Sekolah Lestari Sekolah Kebangsaan Pekan II, di sini pagi tadi, setelah Program Sekolah Lestari dicetuskan semasa Simposium Pendidikan Alam Sekitar bagi Pengetua-Pengetua Sekolah Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Pendidikan pada 2001 telah mengalakkan sekolah-sekolah membudayakan pendidikan alam sekitar melalui penerapan nilai-nilai murni alam sekitar dalam pelbagai aspek.

Jaafar

Jaafar

“Sekolah ini merupakan sekolah keempat melaksanakan Program Sekolah Lestari di Labuan hasil kerjasama Strategi Lautan Biru antara Jabatan Pendidikan Labuan, Jabatan Alam Sekitar Labuan, Perbadanan Labuan bersama-sama dengan firma swasta Repsol Oil and Gas Malaysia Limited.

“Sumbangan sebanyak RM 10 ribu oleh Syarikat Repsol Oil and Gas Malaysia Limited kepada sekolah ini akan dimanfaatkan untuk mengadakan stesen-stesen pendidikan di kawasan sekolah untuk memberi pendidikan kepada para pelajar sekolah di samping mengadakan program bersama Jabatan Alam Sekitar Labuan bersama para ibu bapa pelajar bagi memupuk kesedaran untuk menjaga alam sekitar,” ujar Jaafar lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Labuan, Amir Hamzah Musa berkata pihaknya sentiasa menyokong sebarang inisiatif untuk memberi kesedaran alam sekitar.

“Pihak kami juga akan memperkenalkan Anugerah Sekolah Rakan Sekitar bagi memberi pengiktirafan kepada sekolah yang menunjukkan kecemerlangan dalam memberi kesedaran alam sekitar kepada warga sekolah.

“Anugerah seumpama ini sudah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak sejak 2003 lagi untuk memberi galakan kepada pihak sekolah dan pelajar untuk menyokong dan cinta akan alam sekitar,” jelasnya.

Dalam pada itu, wakil pengurusan Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Datuk Eddie Abdullah, walaupun syarikatnya memberi tumpuan kepada mengembangkan perniagaan, namun tanggungjawab kepada masyarakat dan komuniti setempat tetap diambil perhatian agar menjadi warga korporat yang prihatin.

“Kami bekerjasama dengan agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan atau NGO untuk menganjur dan menaja program-program kemasyarakatan dengan tujuan bagi menggalakkan perubahan, dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan.

“Tahun ini merupakan kali keempat syarikat tersebut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pendidikan di Labuan ini di dalam penajaan program yang bertujuan untuk mempromosi dan membimbing murid-murid sekolah rendah dan menengah ke arah kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar,” tambah Eddie lagi.

-SF

Tinggalkan komen anda