Pengorbanan Ibu Demi Kejayaan Anak Diiktiraf

feature

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Semangatnya yang kuat dalam memberikan pendidikan yang sempurna untuk anak tunggalnya mendapat perhatian pihak pengurusan Al-Baghdadi Centre (APC), Putatan hingga dinobatkan Anugerah Khas Ibu Bapa Cemerlang.

Dengan sokongan yang diperoleh daripada orang tuanya, seorang ibu tunggal, Dayang Zahrimaneeda Pengiran Zahari, 40, terus bersemangat membaiki hidup setelah berdepan konflik rumah tangga yang membawa kepada perpisahan.

Zahrima(kiri) menerima Anugerah Ibu Bapa Cemerlang oleh Balbangsa(tengah) dan diperhatikan oleh pengusaha APC (kanan).

Zahrima(kiri) menerima Anugerah Ibu Bapa Cemerlang oleh Balbangsa(tengah) dan diperhatikan oleh pengusaha APC (kanan).

“Saya sangat gembira dan terharu, tidak menjangka akan dapat anugerah ini, sebab hanya hadir untuk meraikan Hari Konvokesyen anak sahaja.

“Saya agak terkejut nama saya disebut sebab itu saya teragak-agak hingga nama saya dipanggil dua kali,” katanya.

Berkongsi kisah hidupnya sebagai seorang ibu tunggal, ternyata tidak mudah baginya untuk membesarkan anak bersendirian.

“Saya, nenek dan datuknya memilih APC kerana merasakan penting kanak-kanak didedahkan ilmu agama dan Al-Quran pada usia awal.

“Yuran APC walaupun agak berat bagi ibu tunggal seperti saya tapi saya berusaha juga mencari duit demi kepentingan pelajarannya sebab mahu pilih yang terbaik.

“Jarak antara rumah dan sekolah juga agak jauh, sebab sebelum ini belum ada APC yang dibuka berhampiran rumah di Luyang, tetapi saya teruskan juga menghantarnya ke sini sebab pengetua dan ustazah menjaganya dengan baik dan teliti,” jelas ibu kepada Megat Danial Ahmad Megat Iskandar Shah.

Menurut Zahrima, semenjak Danial belajar di APC, dia dapat melihat perubahan yang sangat ketara terhadap anaknya, daripada seorang yang pendiam menjadi seorang yang petah bercakap.

“Dia bijak bersosial, sudah pandai membaca dan mengira serta cepat menghafal surah-surah lazim, Al-Quran pula sudah dibaca hingga juzuk 20.

“Danial faham solat dan pandai mengaji dengan pantas, gemar menari dan menyanyi dan paling disukainya melukis tanpa menggunakan pemadam.

Ucapan wakil pelajar oleh adik Ziqri Zaquan.

Ucapan wakil pelajar oleh adik Ziqri Zaquan.

“Namun begitu, pendidikan agama memang sangat penting malah perlu diutamakan jadi kita sebagai ibu bapa yang perlu membuat pilihan terbaik untuk anak dari awal sebenarnya,” jelasnya yang menyokong cita-cita anaknya untuk menjadi arkitek.

Tambah Zahrima, banyak pengorbanan yang perlu dilakukannya dari segi wang dan masa. Menjadi seperti dia perlu mempunyai hati yang kental dan perlu mendesak diri untuk berubah.

Zahrima juga bakal menunaikan umrah bersama anaknya pada Disember dan berharap agar semua wanita senasibnya kuat apabila berhadapan dengan masalah dalam kehidupan.

“Kita mesti ingat, sudah tertulis dalam Al-Quran sebanyak tiga kali yang setiap kesusahan pasti ada jalan kesenangan.

“Kita jangan bergantung sepenuhnya pada manusia, kita mesti ingat semua datang dari izinNya, bersedih dan menangis itu boleh tapi jangan terlalu lama sebab masa sudah meninggalkan kita.

“Kita perlu teruskan hidup dan harus ingat pasti ada yang lebih baik akan datang cuma kita perlu cari dan teruskan berdoa, berusaha dan tawakkal,”ujarnya bersemangat.

Zahrima ditemui selepas Majlis Konvokeyen ke-2 APC Putatan yang dirasmikan oleh Presiden Persatuan Industri Kecil Wanita (IKSNITA) Sabah, Datuk Dayang Balbangsa Datu Bachtiyal pada Ahad.

Dalam ucapannya Balbangsa berkata, pelbagai cabaran yang perlu dilalui oleh individu didalam bidang keusahawanan sebelum menemui kejayaan.

Balbangsa turut memuji pengusaha APC Putatan, Dayang Nurul Iqwan Muhidin dalam membuka pusat pendidikan dan mendedahkan ramai anak-anak dalam pendidikan Islam.

“Dalam konvo hari ini, kita semua mencari dan melengkapi diri untuk betul-betul menikmati erti sebuah kehidupan dalam reda Allah SWT.

Persembahan Choral Speaking secara berkumpulan

Persembahan Choral Speaking secara berkumpulan

“Ekonomi dan Islam saling berkait, APC mungkin berunsur keagamaan tetapi dalam masa yang sama sebagai usahawan kita kena buat duit juga.

“Tetapi duit yang kita buat berlandaskan kesyukuran berlandaskan sesuatu yang kita suka dan mempunyai manfaat kepada masyarakat itu tidak dikira untung dunia, sebenarnya untung itu pahala akhirat,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 10 orang pelajar berusia enam tahun yang menerima sijil tamat persekolahan dan salah seorang daripadanya iaitu adik Md Hadi Mifzal Md Kharizal telah khatam 30 juzuk Al-Quran baru-baru ini.

-SF

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...