Skip to main content
Berita TempatanSabah

‘Engagement’ Bantu Sekolah Angkat

By 25 November 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & foto: Chang Mui Fui (Sabah)

INANAM, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Penganjuran program ”Engagement” di Sekolah Kebangsaan Babagon Toki beri sinar gembira apabila program berkenaan turut menyalurkan bantuan persekolahan kepada para pelajar sebagai meransang pelajar untuk lebih berjaya.

Ibu kepada pelajar Graygory Gudit, Ribitah Rami berkata, sumbangan bantuan yang diberikan adalah sangat diperlukan dan dapat meringankan beban sebagai ibu bapa.

Ribitah Rami bersama dua orang anaknya yang menerima sumbangan bantuan pada program tersebut.

Ribitah Rami bersama dua orang anaknya yang menerima sumbangan bantuan pada program tersebut.

“Setiap hujung tahun dan awal tahun merupakan tarikh yang memang membimbangkan kerana terpaksa menyediakan pelbagai keperluan persekolahan anak-anak tapi melalui program ini dapat meringankan beban perbelanjaan kami.

Tambahnya, tahun hadapan perbelanjaan persekolahan yang perlu saya sediakan agak ringan kerana tidak lagi memikirkan beg persekolahan anak-anak tahun hadapan.

“Saya berharap agar program sebegini dapat diteruskan kerana program sebegini memang dapat meringankan beban kami di pedalaman,” ujarnya semasa ditemui pada program tersebut pada Khamis.

Sekolah Kebangsaan Babagon Toki yang terletak sejauh 30 kilometer dari Kota Kinabalu dianggap sebagai salah satu sekolah pedalaman yang mempunyai seramai 80 orang pelajar.

Sementara itu, Guru Besar, Yahya Yusof berkata program ‘Engagement Sekolah Angkat’ ini merupakan satu lagi laluan yang baik untuk pihak sekolah menerima membantu dari segi moral dan peralatan bagi menampung kekurangan di sekolah ini.

Jelasnya lagi, walaupun sekolah ini serba kekurangan, namun itu bukan penghalang untuk mencapai pelbagai kejayaan.

“Sekolah ini pernah mendapat Anugerah Serasi 2009/2010, Anugerah Serasi 2013/2014, Anugerah Lestari Kebangsaan 2011/2012 dan Anugerah Lestari Kebangsaan 2013/2014,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganjur, Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Selatan, Peter Tong Ah Pin turut berkata sekolah terbabit terpilih sebagai sekolah angkat disebabkan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan Jabatan.

“Kriteria utama pemilihan ini ialah sekolah tersebut terletak di kawasan pedalaman serta perlu sentiasa diberi perhatian dan sokongan moral bahawa kekurangan bukan penghalang untuk tidak berjaya.

Jelasnya, sehubungan itu melalui program ini pelbagai pengisian dan program boleh kita rancang dan laksanakan bagi menyalur keperluan bantuan yang perlu ke sekolah terbabit.

“Ini untuk merangsang pelajar untuk berjaya dalam akademik adalah dengan memberikan bantuan secara fizikal dan spiritual serta merapatkan hubungan pelajar dengan ibu bapa menerusi aktiviti sosial.

Tambahnya, oleh itu sebagai sebuah agensi kerajaan yang terbabit dalam bidang komunikasi sepenuhnya menjadi tanggungjawab jabatan mempelbagaikan kaedah penyaluran maklumat sebagai membantu sekolah memperoleh bantuan sewajarnya.

Selain Sekolah Kebangsaan Babagon Toki, Sekolah Kebangsaan Long Pasia dan Sekolah Kebangsaan Marak Parak, Kota Marudu turut dijadikan Sekolah Angkat oleh Jabatan Penerangan Sabah.

Pada program tersebut, seramai 80 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Babagon Toki, Inanam menerima sumbangan berupa peralatan sekolah.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.13 Inanam, Fredolin Totin Bangon berkata program seperti ini jelas menunjukkan keperihatinan kerajaan dalam usaha mendekati rakyat khususnya kawasan luar bandar.

“Banyak program pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan, menerusi Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri baru-baru ini jelas bahawa kerajaan komited membangunkan kawasan luar bandar di negeri ini.

“Diharap melalui ikatan kerjasama ini membolehkan sekolah ini terus mendapat sokongan bagi membantu meningkatkan kemudahan di sekolah terbabit agar tiada lagi jurang kemajuan antara sekolah di bandar dan luar bandar,” ujarnya semasa merasmikan program Engagement Sekolah Angkat di sekolah terbabit pada Khamis.

-SF

Tinggalkan komen anda