Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

8000 Umat Islam Banjiri Dataran Perayaan Kuching

By 1 Disember 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Parno Salamat (Sarawak)

KUCHING, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Sambutan Maulidur Rasul 1439 Hijrah kali ini dihadiri lebih 8000 ribu umat Islam yang terdiri daripada warga Kuching yang membanjiri Dataran Perayaan seawal pagi tadi.

Bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’, sambutan Maulidur Rasul kali ini dilihat bersesuaian dalam mewujudkan kestabilan dalam pembangunan negara melalui keamanan, perpaduan dan keharmonian yang terjalin dalam kalangan rakyat hari ini.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, perbezaan kaum, agama dan kepercayaan tidak seharusnya menjadi penyebab berlakunya perpecahan dan perbalahan, namun perbezaan ini merupakan satu sifat semula jadi manusia yang harus dihargai dan saling menghormati hak dan nilai perbezaan.

“Malah kepelbagaian yang wujud dalam sebuah negara yang terdiri daripada perbezaan agama, bangsa, budaya dan bahasa merupakan satu nilai semula jadi di negeri kita.

“Ekstremis agama dan assabiyah perkauman merupakan penyakit paling utama yang mengundang kepada perpecahan dan pergolakan dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul, Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Perayaan, di sini siang tadi.

Abang Johari turut menyeru supaya umat Islam di Sarawak terus diperkasakan kerana mahu melahirkan generasi muda yang Islami dan Ulul Albab.

“Justeru itu, konsep dan nilai ini menjadi asas utama dalam pembentukan kestabilan dan keharmonian masyarakat.

“Meskipun begitu, apa yang lebih penting, kita mesti terlebih dahulu memastikan umat Islam di negeri ini, maju dan unggul, khususnya dalam mempertingkatkan syiar Islam menurut kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah,” jelasnya.

Turut hadir, Tuan Yang Terutama Pemangku Yang di-Pertua Negeri, Tan Sri Bujang Mohd Noor, Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusuf, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

-SH

Tinggalkan komen anda