Enam Wanita Muda Terima Anugerah Ikon 2017

WhatsApp Image 2017-12-06 at 5.00.51 PM

 

 Laporan oleh: Norlydiana Ishak (Kuala Lumpur) / Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Pelakon dan pengacara terkenal tanah air, Shariffah Mariam Syed Abdullah atau Sherry Alhadad, 30, adalah antara penerima Anugerah Ikon Wanita Muda 2017 sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Anugerah kategori seni yang dimenangi Sherry yang juga merupakan Pensyarah Teater Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini telah disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seramai enam wanita muda dianugerahkan sebagai ikon atas jasa, sumbangan dan pencapaian yang membanggakan dalam bidang masing-masing untuk kategori seni, sukan, kajian dan penyelidikan, usahawan, agama, serta Anugerah Khas Puteri UMNO.

Pemenang Anugerah Ikon Wanita Muda 2017 kategori usahawan, Pengarah Kreatif TasBijoux Sdn Bhd, Nur Zalikha Mohd Sabri

Pemenang Anugerah Ikon Wanita Muda 2017 kategori usahawan, Pengarah Kreatif TasBijoux Sdn Bhd, Nur Zalikha Mohd Sabri

Anugerah Ikon bagi kategori sukan telah dianugerahkan kepada Ahli Puteri UMNO Sepang, Emma Firyana Saroji, 31; kategori kajian dan penyelidikan dianugerahkan kepada Dr. Aizan Sofia Amin, 34 dan kategori usahawan dianugerahkan kepada Pengarah Kreatif, TasBijoux Sdn Bhd, Nur Zalikha Mohd Sabri, 29.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di atas anugerah yang diberikan dan saya sangat menghargainya. Saya juga berharap akan lebih ramai golongan muda tampil dan menceburi bidang usahawan ini.

“Untuk menjadi usahawan yang berjaya, perkara paling penting adalah ilmu, saya nasihatkan golongan muda supaya lengkapkan diri dengan ilmu pemasaran, jualan dan kira-kira serta jangan mudah hanyut dengan pujian,” kata Nur Zalikha.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Hanimzah Jalaluddin, Penerima Anugerah Ikon Wanita Muda 2017 kategori agama

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Hanimzah Jalaluddin, Penerima Anugerah Ikon Wanita Muda 2017 kategori agama

Sementara itu, kategori agama pula dianugerahkan kepada Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Hanimzah Jalaluddin, 35, manakala Anugerah Khas Puteri UMNO dianugerahkan kepada Wan Noraini Zainurian, 33.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut menyampaikan hadiah kepada bahagian Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus, Terengganu yang memiliki penambahan keahlian paling tinggi sepanjang tahun ini dengan pertambahan keahlian sebanyak 348 orang.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

– AH/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...