Skip to main content

 

Laporan dan Foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Kombinasi roti canai atau nasi lemak bungkus bersama nescafe tarik atau teh tarik menjadi pilihan pengunjung Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2017 di Kafe Rakyat RM6 dan Restoran Riverside di PWTC bermula Selasa.

Menurut penyelia restoran, Khairuzain Ariffin, 36, roti canai dan teh tarik di Restoran Riverside dipilih kerana memang terkenal sejak PWTC dibuka.

“Sepanjang PAU kali ini, kami ada jual kombinasi roti canai, atau nasi lemak atau kuih-muih atau puff bersama teh tarik atau nescafe tarik dari pagi sampai malam dengan harga RM6.

“Jika dijual secara berasingan, nasi lemak, berharga RM4 air pula RM3. Jadi kombinasi ini kita bagi diskaun RM1. Pada hari pertama sahaja, 500 set yang terjual.

“Pada hari kedua, setakat ini kami sedar ada banyak pertambahan oleh sebab ramai yang dah mula tahu dan nak rasa. Kami juga ada Kafe Rakyat 1Malaysia yang menghidangkan lebih banyak sajian termasuklah nasi campur dengan harga yang sama,” jelasnya.

Khairuzain berkata roti canai dan teh tarik merupakan menu pilihan pengunjung PWTC sejak dahulu

Khairuzain berkata roti canai dan teh tarik merupakan menu pilihan pengunjung PWTC sejak dahulu

Sementara itu, perwakilan UMNO Ampang, Abu Bakar Awang yang ditemui di restoran itu berpendapat roti canai yang disediakan cukup enak sehinggakan dia datang makan untuk kali kedua semalam.

“Karinya ada rasa, rotinya pula lembut. Dah dua kali saya makan roti canai ni hari ini. Dari segi harga, pada saya roti canai dan teh tarik dengan harga RM6, cukup berbaloi. Sesuai dengan lokasi PWTC yang selesa.

“Saya lihat pekerja restoran ini pun sentiasa tambah stok roti canai dan nasi lemak. Jadi apa yang kita nak cepat dapat,” katanya lagi.

Kunjungan kedua Abu Bakar (berkaca mata) untuk menjamah roti canai

Kunjungan kedua Abu Bakar (berkaca mata) untuk menjamah roti canai

Sementara itu, Pemangku Ketua Wanita UMNO Sungai Besar, Datuk Zubidah Maskor yang ditemui ketika sedang menjamu selera di Kafe Rakyat RM6 menyifatkan sajian yang pelbagai memudahkan semua perwakilan menjamu selera.

“Saya pun kali pertama masuk ke Kafe Rakyat ini selepas habis persidangan. Laksa yang saya makan memang sesuai dengan tekak saya.

“Harga RM6 ini saya tahu penganjur beri khas buat semua perwakilan yang datang dari kampung dan luar bandar.

“Sajian yang ada juga pelbagai. Ada roti canai, nasi lemak, mihun sup, laksa, kuih-muih, roti , dan ada juga nasi campur. Tapi jika ada rojak mesti lagi bagus. Idea untuk membuat kombinasi yang pelbagai ini pada saya menepati citarasa pelanggan yang datang,” jelasnya lagi.

Zubidah menunjukkan hidangan laksa di Kafe Rakyat RM6

Zubidah menunjukkan hidangan laksa di Kafe Rakyat RM6

Dalam pada itu, Usahawan, Datuk Faizal Rizal yang ditemui pula memberitahu menu yang disediakan sesuai bukan sahaja kepada perwakilan tetapi juga kepada pengunjung luar.

“Dengan harga RM6, pengunjung luar juga boleh menikmati menu yang disajikan setelah melihat ekspo PAU di atas. Saya sebenarnya datang untuk melihat perjalanan PAU, dan suka melihat peluang perniagaan yang terbuka untuk orang Melayu.

“Saya dan isteri suka datang untuk meninjau perniagaan yang ada di sesebuah ekspo di samping melihat peluang yang ada untuk meniaga. Saya nak melihat apa produk baharu orang Melayu mana tahu dapat peluang berniaga bersama pada masa akan datang.

“PAU ini sebenarnya selain perwakilan bersidang turut membuka peluang kepada usahawan Melayu untuk berniaga dan bertukar-tukar idea,” ujarnya.

Pelayan menunjukkan roti canai yang disediakan

Pelayan menunjukkan roti canai yang disediakan

PAU 2017 yang memasuki hari kedua semalam disertai 5,739 anggota perwakilan UMNO yang berkampung di PWTC sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

– AH

Tinggalkan komen anda