Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pengaruh Scotland, Melayu Dalam Dansa Cocos

By 9 Disember 2017Julai 25th, 2018Tiada komen5 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Irama dan dendangan muzik yang mengiringi tarian Cocos bergema di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selama dua hari bagi melatih 30 peserta bengkel tarian.

Menurut Presiden Kelab Gemilang Anak-Anak Cocos (GAAC), Amego Serasa Tosel paduan irama biola, rebana dan gendang diadun sebaiknya dipengaruhi daripada irama Scotland dan Inggeris dengan asas utama tarian dengan hentakan kaki.

Amego pernah dihubungi oleh pelajar Universiti Jordan bagi mengkaji tentang etnik Cocos.

Amego pernah dihubungi oleh pelajar Universiti Jordan bagi mengkaji tentang etnik Cocos.

“Asas tarian yang perlu menghentak kaki memerlukan penari lelaki memakai kasut yang diletakkan ladam kuda untuk mengeluarkan bunyi mengikut irama lagu.

“Tarian dansa ialah tarian yang paling popular dalam kalangan etnik Cocos, dansa itu sendiri berasal dari perkataan ‘dance’ dalam bahasa Inggeris yang bermaksud tarian atau menari.

“Tarian Dansa ini asalnya dibawa dan ditarikan oleh anak-anak kapal dagang Inggeris yang dimulai oleh Alexander Hare yang membuat pelayaran pertama ke Kepulauan Cocos pada tahun 1826.

“Kemudiannya pada tahun 1827 diteruskan oleh Clunies Ross yang membawa bersama pekerja-pekerja dari Kepulauan Nusantara, Melaka, Betawi dan Banjarmasin,” jelas Amego.

Menurutnya, terdapat beberapa versi tarian Dansa iaitu Dansa Halldock, Step, Senap, Baral dan Scotrail manakala Melenggok pula biasanya dipersembahkan semasa majlis perkahwinan di rumah pengantin perempuan.

“Tiga lagi jenis tarian yang lain seperti samba kahwin, selong dan rodat juga dapat dibezakan melalui rentak tarian dan irama lagu.

“Sebenarnya, kami bangga bila melihat ramai yang berminat untuk cuba persembahkan tarian ini tetapi banyak yang terlalu ditokok tambah sehingga mengakibatkan keasliannya hilang sama sekali.

Para peserta bengkel bergambar kenangan bersama Johan dan Amego.

Tarian dansa ialah tarian yang paling popular dalam kalangan etnik Cocos

“Paling penting yang kami tekankan ialah kostum dan kami harap tidak dilakukan sebarang pengubahsuaian, kerana itulah identiti kami,” ujarnya.

Melalui GAAC dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKS), sebuah inventori etnik Cocos telah dihasilkan dan dalam proses akhir yang terkandung perihal budaya, asal-usul, sosioekonomi dan adat resam untuk dijadikan bahan rujukan dan kajian umum.

Jelasnya, beliau pernah dihubungi oleh pelajar Universiti di Jordan yang berminat untuk mengkaji tentang etnik ini selepas membaca mengenainya di laman blog kepunyaan Amego.

Oleh itu, dengan adanya inisiatif daripada LKS, menurut Amego sangat bagus kerana dia tidak mahu habis setakat di bengkel sahaja, selepas ini dia akan dapatkan senarai penari dan ikuti perkembangan mereka.

“Jika mempunyai dana yang cukup, saya bercadang untuk membawa Kumpulan Stadansa dari Sekolah Kebangsaan St Agnes ke Sepanyol pada tahun hadapan untuk mengikuti pertandingan World Dance Championship.

“78 buah negara akan turut serta dalam pertandingan tersebut dan kemuncaknya kami ingin menunjukkan tarian cocos yang mirip dengan tarian mereka di sana.

“Namun yang pasti untuk pertandingan tarian di Indonesia, kami akan menghantar penyertaan yang kosnya dibiayai sebahagiannya oleh ibu bapa pelajar,” jelasnya.

Menurut Amego, pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pernah memberikan dana sebanyak RM10,000 untuk mereka membuat kostum dan salah satu kostum tersebut telah diletakkan di Muzium Sabah.

Amego juga berharap agar generasi muda cocos dapat menyemai minat untuk mempelajari muzik biola, membuat kostum dan belajar teknik tarian kerana bimbang tiada generasi pelapis yang ingin meneruskan tradisi itu nanti.

Mohazar mengharapkan kesinambungan bengkel bagi mengukuhkan lagi asas tarian ini.

Mohazar mengharapkan kesinambungan bengkel bagi mengukuhkan lagi asas tarian ini.

Dalam pada itu, salah seorang peserta bengkel, Mohazar Iksam Mahad, 44 mengakui sebelum ini pernah menarikan tarian Cocos tetapi masih kekurangan ilmu dan melalui bengkel yang disertai dia dapat mendalami asal usul etnik Cocos serta asas dan elemen tariannya serta muzik yang didendangkan.

Mohazar yang juga seorang Jurulatih Seni Budaya Negara di bawah JKKN merupakan Penolong Kanan KoKurikulum Sekolah Kebangsaan Kampung Biak, Keningau.

Dia mempunyai studio tarian yang dibangunkan melalui Komuniti 1Malaysia (K1M) di bawah Jabatan Penerangan Sabah yang bertujuan untuk pembangunan kesenian di pedalaman.

“Saya cadangkan kursus ini dilakukan berterusan kerana masih ramai rakan-rakan jurulatih diluar yang sangat memerlukan kursus ini dan sebagai langkah mengukuhkan lagi asas tarian Cocos ini kami mengharapkan ada kesinambungan,” ujarnya.

Menurut Mohazar, kebitaraan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah ini ialah kepada kebudayaan dan mereka memfokuskan untuk meletakkan satu ‘Key Performance Indicator’ (KPI) yang tinggi untuk Sabah bahawa kebudayaan akan dibawa ke peringkat kebangsaan dan hingga ke luar negara.

“Bagi mempersembahkan tarian suku kaum di Sabah Insya Allah tarian Cocos antara yang kami beri perhatian untuk program di bawah JPN.

“Dalam program kluster, SK St Agnes antara tumpuan JPN Sabah untuk dinaikkan dan mengukuhkan kebitaraan kebudayaan dan kebetulan saya merupakan antara panel penemu duga untuk Sekolah Seni Sabah,”katanya.

Tambahnya, mereka akan mengelilingi seluruh Sabah dan mencari pelajar-pelajar yang cemerlang dalam tarian untuk dimasukkan dalam Sekolah Seni Sabah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura yang terletak di Sandakan.

Johan mengharapkan kerjasama dari semua persatuan etnik bagi mengangkat kesenian di negeri ini.

Johan mengharapkan kerjasama daripada semua persatuan etnik bagi mengangkat kesenian di negeri ini.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah JKKN Sabah, Johan Wahyuddin Taib berbesar hati mengelolakan bengkel tersebut kerana salah satu cara untuk memperkembangkan sesuatu seni dan budaya di Sabah.

Menurutnya, ini merupakan satu platfom untuk mereka mengetengahkan seni budaya mereka kerana tanpa aktiviti sebegini orang luar tidak akan tahu.

Menganjurkan bengkel ini merupakan inisiatif jabatan dengan menggunakan sedikit peruntukan sebagai penutup tahun ini.

“Saya rasa penganjuran bengkel ini sangat penting kerana boleh dijadikan sebagai rujukan dan bahan-bahan yang diperoleh boleh dibukukan atau divideokan sebagai rujukan kepada generasi akan datang.

“Dokumentasi ini juga penting untuk rujukan kepada para pelajar yang datang kerana adakalanya kami kekurangan bahan, maklumat itu ada tapi tidak didokumentasikan.

“Pihak jabatan juga berpendapat bahawa tarian Cocos ini pula boleh dikembangkan dan dibawa ke festival yang berskala kecil,”katanya.

Johan turut mengakui terdapat kesilapan yang telah dilakukan oleh pihaknya dalam gerakan tarian sebelum ini.

“Kami amat memerlukan bimbingan kerana kami tidak mahir dalam semua segi, dari segi pengurusan mungkin kami ada pengetahuan tetapi dari segi keaslian sesuatu seni itu kami kurang.

Mohazar(dua dari kanan) ketika latihan tarian Cocos.

Mohazar(dua dari kanan) ketika latihan tarian Cocos.

“Maka kami memerlukan kerjasama daripada persatuan dan kelab etnik yang ada di Sabah bagi membantu pihak jabatan dan kita bekerjasama mengangkat kesenian di negeri ini kerana pihak jabatan tidak mampu bergerak sendiri.

“Kami amat memerlukan mereka sebab mereka adalah penggerak dan kami pula sebagai pembuka jalan, jadi ini merupakan peluang yang bukan selalu ada,” jelasnya.

-SF

Tinggalkan komen anda