Bantu, Sokong Pesakit Positif HIV – Dr.Heric

FEATURE

Laporan & Foto: Zaidi Jamin (Sabah)

KOTA KINABALU, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Pihak hospital sedaya-upaya memberikan bantuan dan sokongan kepada pesakit yang menghidap HIV positif agar pesakit berkenaan tidak merasa terpinggir, dibenci dan dipersalahkan.

Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Heric Corray berkata, bagi memastikan lebih ramai mereka yang berisiko tampil untuk menjalani ujian HIV, pihak hospital sentiasa bersikap terbuka dan tidak mendiskriminasikan mereka.

“Sebaliknya akan berikan bantuan dan sokongan moral kepada golongan ini agar mereka bersedia dan sukarela untuk menjalani ujian dan rawatan serta turut sama berperanan mencegah dan mengawal jangkitan HIV/AIDS daripada merebak.

Dr. Heric melawat tapak pameran sambutan sejurus merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat HQE.

Dr. Heric melawat tapak pameran sambutan sejurus merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat HQE.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat komited dalam usaha menangani penyakit ini.

“Justeru, pihak hospital sentiasa mengalu-alukan kehadiran mereka yang memerlukan perkhidmatan rawatan dan saringan serta mengambil langkah yang lebih drastik memperkukuhkan aktiviti pencegahan dan kawalan terhadap penyakit ini,” jelasnya.

Menurut Heric, AIDS ialah sindrom kurang daya tahan penyakit yang disebabkan oleh virus HIV.

“Jangkitan ini boleh disebarkan melalui pelbagai cara yang melibatkan pemindahan cecair badan seperti darah, melalui hubungan seks dengan individu yang dijangkiti, berkongsi jarum suntikan, pemindahan darah dan organ yang tercemar serta daripada ibu HIV kepada bayi.

“Mereka yang dijangkiti HIV boleh kelihatan sihat tetapi apabila tahap antibodi tubuh telah lumpuh, gejala-gejala sindrom AIDS akan kelihatan seperti penurunan berat badan yang ketara termasuklah mudah dijangkitan pelbagai penyakit.

“Setakat ini tiada ubat atau vaksin penyembuh yang ditemui. Walau bagaimanapun rawatan anti-retroviral boleh meningkatkan kualiti hidup dan jangka hayat pesakit”.

Heric berkata demikian semasa merasmikan  Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat HQE bertempat di Auditorium HQE pada Jumaat.

Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Hospital Queen Elizabeth (HQE) merupakan anjuran Unit Penyakit Berjangkit dan Unit Promosi Kesihatan  HQE yang disambut secara sederhana namun dirai dengan kempen dan pelbagai aktiviti  berbentuk pameran yang menjurus ke arah kesedaran bersama.

Khidmat kesihatan dan rawatan sempena sambutan Hari AIDS Sedunia

Khidmat kesihatan dan rawatan sempena sambutan Hari AIDS Sedunia

Bertemakan ’Kesihatan Hak Anda. Manfaatkan Rawatan, Akhiri AIDS’ majlis sambutan dimulakan dengan sesi taklimat kesedaran yang disampaikan  Ketua Jabatan  Penyakit Berjangkit,  Dr. Lee Heng Gee.

Antara yang disentuh termasuklah usaha mencegah dan membanteras penularan penyakit di samping program ke arah mengurangkan stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap HIV dan AIDS.

Turut menarik perhatian dan mengambil tempat pada majlis ialah ceramah perkongsian dan pengalaman pesakit HIV melibatkan seorang pesakit yang terpaksa menghadapi konflik jiwa yang mendalam untuk menerima hakikat dijangkati HIV.

-SF

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...