Skip to main content
Berita TempatanSabah

Peluang Merasa Tanam Padi Di Kg Tambatuon

By 16 Disember 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)

KOTA BELUD, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Terkenal dengan ekopelancongan, Kampung Tambatuon yang kaya dengan pemandangan indah dengan udara yang segar bakal menggamit hati untuk berkunjung ke sini.

Selain pemandangan dan udara yang segar, kampung yang terletak di Kota Belud itu ada menawarkan aktiviti-aktiviti lasak seperti pendakian Gunung Nungkok setinggi 1,652 meter, merentas hutan menuju ke Air Terjun Binombon, menelusuri Sungai Kilombun serta meredah sungai berhampiran iaitu Sungai Kadamaian.

Pengarah IADA Kota Belud, Salmah Labulla (kanan) bersama Yahya (dua dari kanan) menuai atau m engatam padi berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dan Gunung Nungkok pada program berkenaan.

Pengarah IADA Kota Belud, Salmah Labulla (kanan) bersama Yahya (dua dari kanan) menuai atau m engatam padi berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dan Gunung Nungkok pada program berkenaan.

Bagi mereka yang tidak gemar aktiviti lasak, mereka boleh merasai pengalaman hidup dan bekerja dengan penduduk kampung melalui aktiviti menanam atau menuai padi di kampung tersebut.

Menurut Ketua Petani Organik, Magret Darusin, 48, mereka mengalu-alukan kehadiran pelancong untuk bersama-sama membantu bagi merasai sendiri pengalaman menanam serta menuai padi secara organik.

“Kepada mereka yang berminat untuk merasai pengalaman tersebut, mereka boleh memilih untuk datang pada April hingga Julai bagi aktiviti menanam padi dan menuai padi pada Oktober hingga Disember setiap tahun.

“Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah menggembur, melandak (membanjak) tanah dan rumput, menanam dan banyak lagi,” katanya.

Berbeza dengan padi yang ditanam secara biasa, cara tanaman ini lebih rumit dan memerlukan tenaga kerja yang lebih kuat.

Bagi warga emas, Somotoi Dolind, 61, kekurangan tenaga tidak menjadi halangan kepadanya untuk bersama-sama menjalankan tanaman padi organik.

“Walaupun agak susah dan lambat, saya berjaya menukar cara penanaman padi dari cara konvensional kepada organik sejak dua tahun lalu dengan bantuan rakan-rakan yang lain.

“Kami bergotong-royong menyiapkan tanaman padi setiap pemilik sawah di sini, bermula daripada kerja menggembur tanah sehinggalah proses menghasilkan beras,” ujarnya.

Ditanya soal memilih untuk menukar cara tanaman, Somotoi berkata, selain dapat menjaga pemakanan dengan makanan sihat, padi organik juga dapat meningkatkan pendapatannya.

“Semasa menggunakan baja dan racun kimia, padi yang dihasilkan kebanyakannya kosong dan kecil, tetapi dengan cara penanaman padi organik, isi padi lebih berisi dan padat.

“Selain itu, padi organik juga agak mahal dari padi biasa yang harga di pasaran boleh mencecah sehingga RM15 sekilogram,” tambahnya.

 

Magret Darusin semasa ditemu bual oleh pemberita.

Magret Darusin semasa ditemu bual oleh pemberita.

Sementara itu, Magret berkata, pihak mereka dalam proses mendapatkan sijil pengiktirafan daripada pihak Jabatan Pertanian bagi mengesahkan padi mereka ialah organik.

“Pihak kami dengan kerjasama pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dalam proses mendapatkan pengiktirafan tersebut dan apabila telah diperoleh, harga beras ini boleh mencecah kepada RM20 sekilogram.

“Pada masa sekarang, kita mendapat tempahan daripada pemborong untuk dijual di tamu-tamu di seluruh negeri ini dan juga di semena njung Malaysia dengan bantuan promosi daripada IADA,” kongsinya.

Magret dan Somotoi ditemui  media selepas Majlis Gotong-Royong Penuaian Tanaman Padi kampung tersebut yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Yahya Hussin pada Selasa.

Sawah padi organik Kampung Tambatuon merupakan sawah padi yang ditanam secara organik terbesar di Malaysia dengan keluasan 200 ekar yang diusahakan oleh penduduk kampung.

SF

Tinggalkan komen anda