Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Juara Kempen Skim Thohir 2.0 Menang Pakej Umrah

By 18 Disember 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Norizah Jadid & Amirah Ahmad (Kuala Lumpur)

Rozalinda Katan, pemenang pertama Skim Thohir 2.0 2017

Rozalinda Katan, pemenang pertama Skim Thohir 2.0 2017

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Bak kata pepatah Melayu ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, adalah pepatah yang sesuai untuk digambarkan kepada Rozalinda Katan, pemenang tempat pertama Kempen Skim Thohir 2.0 2017.

Rozalinda membawa pulang hadiah utama Pakej Umrah bagi dua orang, tajaan CIMB Islamic Bank Berhad menerusi program yang dikendalikan Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad.

“Kemenangan ini memang saya tidak sangka dan mengejutkan kerana ini merupakan kali pertama saya membuat pembayaran zakat menerusi Skim Thohir ini,” katanya dengan nada gembira.

Rozalinda yang bertugas di Amanah Mutual Berhad dan sedang hamil anak ketiga melahirkan kesyukuran atas kemenangan ini dan akan mengerjakan umrah yang dimenanginya bersama suami selepas bersalin.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, “Kempen Skim Thohir adalah satu inisiatif daripada PPZ-MAIWP untuk meningkatkan kefahaman masyarakat Islam berkaitan zakat dan merupakan saluran bayaran zakat secara bulanan melalui potongan gaji yang memudahkan urusan pembayaran zakat”.

“Kempen ini dilaksanakan dengan dua fasa iaitu fasa pertama (April hingga Julai 2017) dan fasa kedua (Ogos hingga November 2017),” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Skim Thohir 2.0 2017, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman menyampaikan ucapan

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman menyampaikan ucapan

Tambah Abdul Hakim, pelbagai usaha dan aktiviti telah dilaksanakan dalam mempromosikan kempen ini seperti turun padang bertemu dengan wakil-wakil majikan dan kakitangan yang meliputi sektor kerajaan, swasta dan badan berkanun dalam memberi kefahaman berkaitan zakat.

“Kempen ini berjaya menarik seramai 7,035 orang pembayar zakat dalam tempoh lapan bulan bagi tahun ini berbanding 2,356 orang untuk tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya lagi.

Dalam kempen ini, Md Fadzil Md Saad daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memenangi tempat kedua dan membawa pulang baucer percutian bernilai RM5,000 manakala Mohd Mustaqim Abdul Raji daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd memenangi tempat ketiga dan membawa pulang barangan elektrik bernilai RM 3,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (tengah) dan Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad, Datuk Mohamed Ross Mohd Din (lima dari kiri) bersama pemenang Skim Thohir PPZ-MAIWP 2.0 2017

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (tengah) dan Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad, Datuk Mohamed Ross Mohd Din (lima dari kiri) bersama pemenang Skim Thohir PPZ-MAIWP 2.0 2017

Sementara itu, pemenang saguhati menerima wang tunai bernilai RM500 dengan tambahan sebanyak RM500 daripada pihak CIMB Islamic Bank Berhad bagi pemenang yang mempunyai akaun CIMB Bank.

Sebarang pertanyaan dan persoalan berkaitan kempen boleh hubungi Talian Zakat di 1-300-88-5757.

Turut hadir, Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad, Datuk Mohamed Ross Mohd Din sebagai penaja utama.

– AH

Tinggalkan komen anda