Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Mufti Dihina ; Ketaksuban Melampau Peminat K-Pop

By 26 Disember 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan : Syed Hisham Shah (Putrajaya)/ Foto : The Malay Mail Online

PUTRAJAYA, 26 Dis (Malaysiaaktif) – 18 Disember lalu, dunia ‘dikejutkan’ dengan kematian seorang penyanyi dari Korea Selatan yang menganggotai kumpulan pop SHINee, Jong-hyun. Ironinya kematian penyanyi tersebut bukanlah di akibatkan kemalangan mahupun penyakit kronik, sebaliknya bertindak membunuh diri.

Artis membunuh diri bukanlah sesuatu yang baharu, tahun ini sahaja beberapa nama besar dalam industri hiburan mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat dengan tangan sendiri. Julai lalu, penyanyi utama kumpulan Linkin Park, Chester Bennington membunuh dirinya selepas sahabat baiknya Chris Cornell terlebih dahulu menggantung dirinya pada Mei tahun yang sama.

Berbalik kepada kematian Jong-hyun, beliau ditemukan tidak sedarkan diri oleh kakaknya di kediamannya di Chungdam, Seoul kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan). Beliau dikejarkan ke hospital, tetapi akhirnya disahkan telah meninggal dunia pada usia 27 tahun.

Menariknya tentang kematian penyanyi ini, ia turut menarik perhatian seorang ahli agama. Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menegur tindakan peminat-peminat penyanyi tersebut yang beragama Islam yang menghadiri majlis memperingati kematian mendiang Kim Jong Hyun yang diadakan di tepi Sungai Klang, empat hari selepas kematiannya.

Menurut Harussani, perbuatan peminat-peminat yang berkumpul sebagai penghormatan buat Jong-hyun adalah bertentangan dengan ajaran Islam, dan mengapa harus diikut budaya orang kafir.

Hukum mengucapkan ‘Rest In Peace’ (R.I.P) juga adalah haram, apatah lagi menghadiri majlis memperingati kematian dengan meratapi dan menangis teresak-esak.

Namun yang lebih menarik perhatian, apabila terdapat segelintir pihak yang cukup ‘arif’ dalam bab hukum agama ini dengan lantangnya menempelak tindakan seorang yang bergelar Sahibus Samahah menegur sesuatu yang ditegah agama dengan alasan sekadar menghormati sesama insan.

Persoalannya, apakah ilmu yang ada pada kita hari ini setinggi mereka yang bergelar Sahibus Samahah hingga sanggup menggelar mereka dengan gelaran yang tidak baik? Sekiranya tidak mahu mendengar, maka adalah lebih baik berdiam diri sahaja.

Seorang mufti merupakan penasihat di dalam agama Islam, yang juga merupakan tonggak penasihat agama Islam bagi sesebuah negara mahupun negeri, dan seorang mufti akan digelar dengan ‘Sahibus Samahah’ yang bermaksud ‘memiliki sifat toleransi’.

Ini kerana Mufti sudah cukup terkenal untuk disamakan dengan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan sebarang fatwa., dan semua fatwa yang dikeluarkan adalah bersandarkan kepada hukum Al-Quran, Hadis Rasulullah, Qiyas dan Ijmak Ulama.

Sekiranya seorang mufti tidak dihormati, maka pada siapa sandaran kita dalam perkara yang melibatkan akidah dan ilmu keagamaan, dan sekiranya mufti dihina, apakah syiar agama dapat diperjuangkan. Andai ini adalah cerminan kepada wajah ahli agama hari ini, tidak mustahil suatu hari nanti kita turut mengikut jejak Indonesia yang membenarkan zina.

Seorang mufti seharusnya dihormati, kerana mereka adalah ulama yang menjadi tempat rujukan kepada pelbagai isu agama kerana ilmunya, pengalamannya dan pelantikannya oleh pemimpin tertinggi negeri mahupun negara.

Sekiranya mereka gagl dihormati, maka secara tuntasnya kita turut menolak pelantikannya sebagai penasihat agama oleh sultan yang memerintah sesebuah negeri.

Ternyata obsesi terhadap fenomena K-Pop ini tidak bermula dengan kematian Jong-hyun sebaliknya pernah hangat dibicarakan di alam maya sekitar dua tahun dahulu apabila seorang gadis bertudung tanpa segan silu memeluk serta dicium artis pujaannya di hadapan khalayak ramai.

Tidak ada salahnya berhibur, asalkan kena pada tempatnya dan tidak terlalu taksub. Islam sendiri membawa konsep ‘wasatiyyah’ iaitu kesederhanaan dalam setiap perkara, maka mengapa perlu obsess kerana setiap yang berlebihan itu sentiasa akan membawa kepada keburukan. Islam agama yang indah dan mudah sekiranya difahami dengan betul-betul.

Tinggalkan komen anda