Membeli-Belah Di Rombengan – Murah dan Unik

rongeh
Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

TAWAU, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Dalam keriuhan pelanggan memilih barangan terpakai di pasar bundle atau disebut rombengan mengikut istilah tempatan, kelihatan tujuh beranak turut sibuk memilih kasut yang baharu dikeluarkan daripada guni.

Pelanggan Suraya Muhamad, 46 bersama suami dan lima anaknya perlu melalui perjalanan sejauh 81 kilometer untuk ke bandar dari rumah mereka di Kalabakan untuk membeli-belah barangan persekolahan.

Suraya (kanan) membantu anaknya(kiri) mencari kasut sukan.

Suraya (kanan) membantu anaknya(kiri) mencari kasut sukan.

“Apabila dapat tahu hari ini ada jualan rombengan, kami pun merancang untuk datang mencari barang keperluan anak-anak sebab sekolah pun akan dibuka tidak lama lagi.

“Sekarang ini kami sedang mencari kasut sukan untuk anak kami, kalau ada rezeki dapatlah saiz yang sesuai, mencarinya perlu sabar sebab pilihan sangat banyak,” katanya.

Suraya mengakui banyak wang yang perlu digunakan untuk persediaan sekolah anak-anak termasuk pakaian dan peralatan lainnya. Untuk lima orang anaknya, dia telah membelanjakan kira-kira RM3000.

“Rombengan ialah pilihan terbaik untuk mengurangkan kos belanja, tidak semestinya yang terpakai itu tidak bagus, kalau bernasib baik kita akan dapat yang berjenama dan berkualiti dengan harga yang murah.

“Berbelanja di sini sememangnya banyak membantu golongan yang berpendapatan rendah, sekurang-kurangnya anak-anak dapat juga merasa barangan berjenama.

“Kami tidak kisah membeli dengan harga yang murah, sebab anak-anak sedang membesar dan kadang-kadang dapat memakai kasut ini sekejap sahaja sebab sudah tidak sesuai saiznya,” jelas Suraya ketika ditemui dalam Karnival Jom Bundle pada Ahad.

Karnival tersebut dianjurkan selama tiga hari sehingga 1 Januari 2018 oleh Kelab Kebajikan dan Rekreasi, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) di pekarangan MPT.

Dalam pada itu, peniaga pasar rombengan, Jumardi Saraila, 36 atau lebih dikenali dengan nama Jumak Bundle berkata peminat barangan terpakai terdiri daripada semua golongan bermula daripada yang kurang berkemampuan hinggalah yang bekerjaya.

Suraya (kanan) membantu anaknya(kiri) mencari kasut sukan.

Suraya (kanan) membantu anaknya(kiri) mencari kasut sukan.

“Memang ramai tahu barangan terpakai boleh dimiliki dengan harga yang murah, tetapi ada golongan peminat yang gemar menyelam untuk mencari barangan berbeza yang tidak dijual di pasaran Malaysia.

“Sesetengahnya juga ingin mencari barangan tulen buatan Amerika Syarikat, Jepun dan Korea kerana kualitinya, ataupun ingin memakai sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang lain kerana pengeluaran yang terhad atau telah dihentikan,” jelasnya yang telah berniaga rombengan hampir 10 tahun.

Tambahnya, jika ada rezeki, mungkin pelanggan akan menjumpai duit, emas dan pelbagai barangan terselit pada pakaian, seluar atau beg yang dibeli.

Untuk tujuan kebersihan, dia juga menyarankan agar pembeli membasuh terlebih dahulu barangan yang dibeli dan jika perlu direndam dengan air panas untuk menghilangkan kotoran dan bakteria.

Jumardi sebelum ini bertugas selama enam tahun di Ladang Serudung, Kalabakan yang memakan masa lima jam perjalanan dari bandar Tawau.

“Lokasi kerja yang jauh memaksa saya membuat keputusan untuk berhenti kerja dan cuba berniaga, mengambil berkat ilmu yang telah dipelajari daripada arwah ayah.

“Untuk memulakan perniagaan, selain mendapat bantuan kewangan daripada keluarga, saya juga membuat pinjaman sebanyak RM30 ribu daripada Amanah Ikhtiar Malaysia(AIM) dan juga Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) sebanyak RM20,000.

“Alhamdulillah setelah enam bulan berniaga saya mampu melunaskan pinjaman kepada AIM manakala pinjaman TEKUN insya-Allah akan dilangsaikan tahun hadapan,” ujarnya.

Menurutnya, perniagaan rombengan sememangnya menguntungkan dan pendapatannya boleh mencecah hingga RM12,000 seminggu manakala dalam karnival sebegini boleh mencecah RM30,000 dalam tempoh empat hari.

Selepas tujuh tahun berniaga dengan perniagaan yang agak stabil, dia kemudian menyewa sebuah premis yang terletak di Taman Semarak untuk menempatkan barangan jualannya.

Isterinya, Murnih Kamedi, 31 akan membantu menguruskan kedai mereka itu jika Jumardi sibuk berniaga di karnival samada di dalam atau luar daerah Tawau.

Jumardi juga mengakui kini semakin banyak program yang dianjurkan untuk memberi peluang khusus kepada peniaga rombengan sepertinya untuk berniaga yang mana menunjukkan barangan terpakai ini semakin diterima oleh semua golongan.

“Bila semakin banyak program sebegini dianjurkan, secara tidak langsung nilai barangan terpakai ini diangkat lebih tinggi.

“Jika dahulu ramai yang mengatakan berbelanja di rombengan ini agak memalukan tetapi kini ramai yang semakin terbuka untuk memilikinya.

“Dengan penganjuran yang sebegini, semakin ramai juga peniaga yang berminat untuk berniaga barangan terpakai kerana permintaan yang meningkat,” kata Jumardi.

 

-SF

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...