Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

MyCorps@Afrika Bawa Misi Kemanusiaan Belia Malaysia

By 3 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Nornisah Khairoji & Saharuddin Othman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Malaysiaaktif) – “Semenjak MyCorps ditubuhkan, ini merupakan misi paling mencabar dan sukar berbanding misi-misi sebelum ini seperti ke Kemboja, Sri Lanka serta Bangladesh dan tahun lepas ke negara Timur Tengah di Lubnan, Jordan dan juga Turki.”

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata demikian kepada para peserta Program MyCorps Afrika Misi 2/2017 pada Sesi Meet & Greet bersama Peserta Program MyCorps@Afrika di Pusat Belia Antarabangsa, di sini semalam.

“Misi ke Afrika kali ini bakal melihat kawasan-kawasan dan juga negara yang paling daif dari segi keperluan dan sangat mundur dari segala segi bentuk pembangunan manusia ataupun ‘human development ’.

“Saudara dan saudari akan dihantar ke kawasan yang bukan hanya memerlukan kemudahan asas tetapi juga berdepan dengan krisis kemanusiaan dan pelarian yang terpaksa lari dari konflik setempat,” jelas Khairi kepada sukarelawan terlibat dalam misi ini.

Menteri Belia dan Sukan semasa menyampaikan ucapan

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin semasa menyampaikan ucapan

Tambah Khairy, kawasan itu juga mempunyai krisis kesihatan dengan sebahagian besar kawasannya berdepan dengan wabak penyakit seperti kolera, malaria dan sebagainya.

“Selain itu, para sukarelawan juga bakal berdepan dengan keadaan di mana akan ada tekanan atau konflik zon tidak jauh dari tempat saudara saudari dihantar.

“Jadi dengan sebab itulah saya merumuskan bahawa misi MyCorps kali ini merupakan misi paling mencabar pernah dilakukan oleh MyCorps,” katanya lagi.

Program MyCorps@Afrika adalah anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Malaysian Aid and Humanitarian Relief (MAHAR), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dan pakar dalam menjalankan aktiviti berbentuk kesukarelawanan serta kemanusiaan di peringkat antarabangsa sebagai Rakan Pelaksana Program MyCorps@Africa ini.

Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan para peserta sukarelawan yang terpilih daripada 406 permohonan

Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan para peserta sukarelawan yang terpilih daripada 406 permohonan

Misi MyCorps@Afrika yang merupakan misi kelima di bawah MyCorps ini pertama kali diperkenalkan oleh KBS pada tahun 2015 di bawah Program Kesukarelawan Belia Antarabangsa dengan bertujuan membentuk kendiri, jatidiri belia Malaysia dalam lingkungan umur 18 hingga 30 tahun.

“MyCorps sebenarnya adalah meneruskan tradisi Malaysia yang bukan hanya melihat kepada pembangunan di dalam negara kita tetapi pembangunan seantero dunia.

“Saya selalu berpesan kepada peserta MyCorps bahawa tradisi ini telah bermula sejak zaman awal Merdeka lagi iaitu pada tahun 1960 di mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menghantar pasukan ke Congo pada waktu itu di bawah naungan Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu mencari keamanan di negara tersebut.

“Itulah tradisi MyCorps kerana Malaysia sebagai sebuah negara yang berjiwa besar walaupun dalam tempoh berkenaan masih lagi mundur dan miskin namun masih lagi ingin melakukan perubahan dan membantu dunia dan disebabkan perkara itulah juga Malaysia sangat-sangat dihormati di mata dunia,” kata Khairy lagi.

Khairy Jamaluddin  bersama peserta Programs MyCorps@Afrika yang bakal melaksanakan misi kemanusiaan mewakili Malaysia

Khairy Jamaluddin bersama peserta Programs MyCorps@Afrika yang bakal melaksanakan misi kemanusiaan mewakili Malaysia

Bagi misi MyCorps@Afrika kali ini seramai 46 peserta pelbagai latar belakang telah terpilih daripada 406 permohonan pada sesi pemilihan yang telah diadakan pada Oktober 2017 hingga November 2017.

Peserta-peserta yang terpilih telah menjalani Latihan Intensif (Pre Departure Training) selama 30 hari di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak dan Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Negara yang terlibat pada program kali ini adalah Uganda, Tanzania, Kenya dan Sudan, seterusnya para peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan di setiap negara tersebut selama dua bulan untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawanan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim serta Pengerusi Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Azahari Johari.

– AH

Tinggalkan komen anda