Skip to main content
Berita TempatanPahang

[VIDEO] Korban Pertama Banjir di Pahang

By 4 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto: Pai Syahira Yahya

KUANTAN, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Korban pertama banjir di Pahang telah meragut nyawa pelajar tahun satu Sekolah Sri Abim Pahang lewat petang semalam di Kuantan.

Mangsa tragedi lemas, Muhammad Faris Aqeel Mohd Afif , 7, maut di longkang berhampiran sawah di Kampung Padang setelah lemas dalam tempoh tiga minit.

Bapa mangsa tidak berjaya menahan sebak dan menceritakan detik malang kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang

Bapa mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan detik malang kepada Pemangku Raja Pahang

Tragedi malang itu berlaku 6.00 petang tidak disedari oleh ibu bapa mangsa telah meragut nyawanya apabila gagal diselamatkan menerusi bantuan pernafasan kecemasan.

Manakala adiknya, Muhammad Firas Adam Mohd Afif, 5 tahun telah berjaya diselamatkan dan kini masih mendapat rawatan di zon separa kritikal Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang telah mencemar duli menziarahi keluarga mangsa di pekarangan Unit Forensik HTAA.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Baginda dalam titahnya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga  mangsa turut menasihati ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak semasa musim banjir.

“Saya sekali lagi ingin mengingatkan ibu bapa yang tinggal berhampiran tepi kolam, tepi sungai, tepi longkang harus memerhatikan anak-anak kita kerana kejadian seperti ini tidak diduga,” titah baginda.

Bapa mangsa, Mohd Afif Abdul Razak, 32, yang berkhidmat sebagai Penolong Jurutera di JKR Kuantan ketika ditemui kelihatan sugul dengan pemergian anak sulungnya.

“Saya reda, saya akur Tuhan ambil anak saya tapi saya perlukan masa untuk tenangkan diri,” ujarnya.

Jenazah Muhammad Faris Aqeel akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sagu 1 sejurus selesai segala urusan.

Perkembangan banjir terkini di Kuantan telah membabitkan 24 pusat perpindahan melibatkan 1309 keluarga dengan jumlah 4615 mangsa banjir dan 26 mangsa ribut.

-SF

Tinggalkan komen anda