Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Tiket Percuma Ke Malaysia Cybergames 2018

By 8 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto: Fariz Faizal Mohd Nazri (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 8 jan (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mengumumkan bahawa tiket masuk ke Malaysia Cybergames 2018 yang akan diadakan pada 13 dan 14 Januari 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), disini adalah percuma.

“Pada Cybergames 2015 yang lalu, tiket habis dijual seminggu sebelum hari pertandingan. Bagaimanapun untuk kali ini, setelah berbincang dengan penganjur supaya golongan muda kita tidak terbeban dengan pembelian tiket, saya dengan ini mengumumkan tiket masuk Malaysia Cybergames 2018 adalah percuma.

“Bukan itu sahaja, cabutan bertuah khas buat pengunjung berupa barangan e-sports bernilai RM20,000 juga akan dibuat pada 14 Januari nanti,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran Malaysia Cybergames 2018, di sini hari ini.

E-sports adalah satu platform yang dapat memperkukuhkan semangat perpaduan serta setia kawan golongan anak muda - Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Keruak

E-sports adalah satu platform yang dapat memperkukuhkan semangat perpaduan serta setia kawan golongan anak muda – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Keruak

Malaysia Cybergames 2018 dengan slogan ‘pantang mengalah, tidak berundur’ ini adalah anjuran Suara Anak Muda 1Malaysia dan Tune Advertising Sdn Bhd.

Acara ini akan menyaksikan lebih 1,000 peserta yang bakal berentap dalam sembilan permainan video popular global seperti Counter Stroke Go, DOTA 2 dan FIFA 2018 dengan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM300,000.

Menurut Salleh, sejak sedekad lalu landskap industri kandungan dan teknologi kreatif Malaysia yang terdiri daripada sektor animasi, kesan visual, media baru serta sektor permainan digital telah mengalami perubahan dan pertumbuhan yang besar.

“Menyedari potensi dan peluang yang besar ini, kerajaan di bawah KKMM serta agensinya, MDEC, telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membangunkan sektor dan industri ini khususnya dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi meneruskan pembangunan cybergames atau e-sports ini.

“Kerajaan juga telah menyokong e-sports dengan beberapa inisiatif utama seperti pengiktirafan e-sports sebagai sukan rasmi pada tahun 2015, pelancaran Akademi E-Sports pada tahun 2017, dan aktiviti sokongan seperti Sukan Cyber Malaysia untuk meningkatkan kesedaran dan pembangunan sektor ini,” jelasnya.

Antara tetamu kehormat dan wakil media yang hadir

Antara tetamu kehormat dan wakil media yang hadir

Tambah Salleh, dia menyokong usaha mana-mana pihak dalam menganjurkan aktiviti seperti ini kerana sejak mengambil alih tugas Menteri Komunikasi dan Multimedia dia melihat cybergames atau e-sports ini sebagai satu platform yang dapat memperkukuhkan semangat perpaduan serta setia kawan golongan anak muda berbilang kaum dan agama di negara ini.

“E-sports kini merupakan salah satu sukan yang telah menjadi perhatian seluruh dunia dan ianya akan menjadi salah satu acara suka terbaru pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou China selain acara demonstrasi di Sukan Asia 2018 di Jakarta,” katanya.

Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah memberikan ucapan sempena Majlis Pra Pelancaran Malaysia Cybergames 2018

Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah memberikan ucapan sempena Majlis Pra Pelancaran Malaysia Cybergames 2018

Dalam pada itu, Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana mempercayai dan yakin kepada orang muda untuk mengangkat satu acara yang berbeza daripada program-program yang ada di dalam negara ini.

“Tanggungjawab kita sebagai kerajaan, rakan-rakan NGO (badan bukan kerajaan) seperti saya, kita tidak mahu terlepas peluang, kita tidak mahu ketinggalan memberi peluang kepada anak muda, kerana itu hari ini kita hadir untuk memberi peluang dan ruang kepada anak muda untuk bertanding di peringkat amatur di negara kita, mana tahu kita boleh mencungkil bakat-bakat baru dalam e-sports.

“Untuk makluman, e-sports ini bukan sahaja untuk gamers. E-sports juga adalah untuk komuniti-komuniti siber iaitu yang terlibat dalam coding, game developer dan sebagainya, membuka ruang yang luas untuk anak muda cebur dalam bidang e-sports ini.

“Kita bukan sahaja nak menganjurkan di peringkat Malaysia, mungkin satu hari nanti Malaysia Cybergames ini akan diangkat ke peringkat antarabangsa dan diiktiraf oleh e-sports dalam dunia, di mana Malaysia Cybergames melahirkan pemain-pemain sukan e-sports yang terbaik dalam negara,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda