Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sabah Tambat Hati Pemain Bola Korea Selatan

By 11 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Mohammad Mahathir Abdul Halif / Foto: Mohd Mahathir
& Keningau FA (Sabah)
 
KENINGAU, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Bak kata pepatah Melayu, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung merupakan peribahasa tepat bagi menggambarkan perasaan pemain bola sepak import Sabah dari Korea Selatan.

Lee Gil Hoon, 35, tidak menyangka mampu bertahan selama tujuh bulan berada di Sabah setelah mengikat kontrak dengan kelab bola sepak Sabah (Sabah FA) pada tahun lalu.

Katanya, sebagai orang luar Malaysia, Sabah ialah tempat asing bagi saya tapi orang kata masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak, luahnya sambil tersenyum dan itulah kata-kata yang dipegang olehnya sepanjang berada di Sabah.

Katanya lagi, berkhidmat sebagai pemain import pasukan bola sepak Sabah FA merupakan perkara yang tidak pernah diimpikan sebelum ini untuk dijadikan suatu pengalaman dalam karier.

“Pada mulanya saya agak khuatir, saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya dan masyarakat di Sabah.

Lee Gil Hoon

Lee Gil Hoon

“Tapi tidak disangka sudah tujuh bulan saya dan keluarga berada di Sabah dan saya sekeluarga semakin selesa serta suka berada di Sabah,” ujarnya.

Apabila ditanya tentang makanan tempatan yang menjadi kegemarannya, dia menyatakan  sangat suka makan nasi lemak.

“Nasi lemak menu kegemaran saya ketika ini dan saya masih belum lagi mencuba makanan asli masyarakat Sabah, terasa ingin merasakan masakan tempatan Sabah nanti sekiranya berpeluang,” tambahnya.

Sudah jadi kelaziman orang perantau, tempat bermain pasti akan dikenang, Lee Gil Hoon tidak menafikan kekadang perasaan dia sekeluarga tetap teringin makanan korea.

“Kekadang rindu juga dengan menu Korea tapi kami tidak risau kerana banyak restoran Korea di sini malah saya sering bertemu dengan ramai pengunjung Korea yang datang ke Sabah.

“Apa yang menarik di sini ialah cuaca panas sepanjang musim dan saya tidak perlu berbelanja besar membeli pakaian musim sejuk,” katanya sambil ketawa.

Lee Gil Hoon berada di Keningau selama dua hari bagi mengikuti perlawanan persahabatan menentang Keningau FA dan Barracuda FC. Kedua-dua perlawanan tersebut dimenangi Sabah FA dengan jaringan tiga berbalas kosong.

Menyentuh tentang perlawanan bola sepak di negeri ini dia berkata corak permainan di Korea Selatan jauh berbeza dengan di sini.

“Saya sentiasa menharapkan agar kemahiran yang ada pada saya mampu untuk membangunkan sukan bola sepak tempatan dan membawa Sabah FA ke peringkat teratas liga.

“Perlawanan persahabatan ini baik untuk saya untuk lebih mengenal rakan-rakan dan bermain di daerah Keningau ini rasanya masih tidak puas kerana banyak tempat menarik di daerah ini yang masih saya tidak sempat kunjungi.

Katanya lagi, saya sempat berkunjung ke tapak ‘Visit Keningau’ rupanya banyak tempat menarik dan nanti suatu hari saya dan keluarga akan datang kembali ke daerah ini untuk bercuti.

Sementara itu, Pengurus Persatuan Bola Sepak Keningau (Keningau FA), Rafie Robert, 30, berkata perlawanan persahabatan ini diadakan bersempena Tahun Melawat Keningau 2018.

“Perlawanan ini sebagai suatu promosi kepada ‘Visit Keningau’ selain berpeluang memantapkan skuad muda Keningau FA yang dijangka akan beraksi dalam Liga Bola Sepak Rakyat di peringkat kebangsaan tidak lama lagi.

Jelasnya, pendedahan seperti ini akan memberikan impak positif kepada pasukan kami dan serta dapat mempelajari taktik daripada pasukan berpengalaman.

“Saya mohon agar semua masyarakat di daerah Keningau terus menyokong sukan bola sepak tanah air dan menyokong Kempen Tahun Melawat Keningau 2018”, ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda