Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bantuan Kerusi Roda, Beri Sejuta Harapan

By 11 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Abdul Aziz Ghani (Sabah)

KUNAK, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Perasaan gembira tidak mampu diungkapkan oleh Razali Rasman, 32, dari kampung Skim Cocos, dimaklumkan menerima bantuan sebuah kerusi roda bagi kegunaannya yang sakit sejak lebih lima tahun lalu pada program penyampaian bantuan berkenaan di Majlis Daerah Kunak pada Rabu.

Razali ketika ditemui berkata permohonan mendapatkan bantuan kerusi roda ini dibuatnya pada tahun lalu dan tidak menyangka awal tahun ini permohonan tersebut dipermudah.

“Terima kasih, kepada semua yang membantu mempercepat bantuan ini diterima. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas jasa baik semua,” katanya dengan nada sayu apabila mengetahui dia merupakan salah seorang penerima bantuan tersebut.

Pada program tersebut seramai 12 orang menerima bantuan tersebut dari Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Negeri Sabah yang disampaikan sendiri oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N51, Kunak, Datuk Nilwan Kabang.

Menurut Nilwan, bantuan ini tentunya memberi sejuta harapan baharu kepada penerima dan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan yang meluluskan pemberian bantuan ini sebagai ketelusan kerajaan menjaga kebajikan rakyat terutama di daerah ini.

Katanya lagi, semua pemimpin masyarakat di daerah ini diingatkan agar terus melaporkan kepadanya tentang sebarang keperluan kebajikan penduduk kampung yang memerlukan bantuan seperti kerusi roda bagi membolehkan golongan terbabit segera mendapat bantuan.

“Saya amat berbesar hati untuk turun membantu dan memberi sokongan sepenuhnya terhadap sebarang permohonan bantuan yang dipohon oleh penduduk kampung di daerah ini terutama individu yang amat-amat memerlukan bantuan dalam aspek kesihatan sebegini.

“Oleh itu, saya berharap pemimpin masyarakat di peringkat bawah dapat mengenal pasti mana-mana individu yang memerlukan bantuan segera melaporkan dan kita akan ambil tindakan segera untuk membantu,” ujarnya.

Semwntar itu, penerima bantuan, Indah Olan Sanuri, 70, dari kampung Kunak Tiga, yang lumpuh sejak lima tahun lalu turut bersyukur kerana selepas ini dia boleh bergerak dari tempat perbaringan.

Perasaan syukur ini turut diluahkan oleh seorang lagi penerima Awie Amain, 22, dari Kampung lormalong.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Utoh Johan Angkee dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Mohammad Abdillah.

SF

Tinggalkan komen anda