AirAsia Promosi ‘Beautiful Terengganu’

0777d46b-4da5-4ac5-983d-24b729817381

 

 Laporan dan foto : Norhafizah Abd Rahim & Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)

KUALA NERUS, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyambut ketibaan pesawat syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad berpaparkan ‘Beautiful Terengganu Malaysia’ di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, petang semalam.

Kolaborasi di antara syarikat tersebut dengan Kerajaan Negeri Terengganu ini bersempena kempen mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi pelancongan.

Ahmad Razif bersalaman dengan penumpang yang tiba dengan menaiki pesawat AirAsia yang berpaparan 'Beautiful Malaysia Terengganu' di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

Ahmad Razif bersalaman dengan penumpang yang tiba dengan menaiki pesawat AirAsia yang berpaparan ‘Beautiful Malaysia Terengganu’ di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini.

Menurut Ahmad Razif, kerajaan negeri amat berbesar hati dengan kolaborasi bersama ini dengan harapan jalinan sebegini dapat menjadi pencetus kepada jalinan dengan syarikat-syarikat korporat lain.

“Negeri Terengganu kini lebih bersedia untuk dinobatkan sebagai negeri pelancongan yang mampu menggamit kehadiran pengunjung dan kami percaya dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran kepada jenama ‘Beautiful Terengganu, Malaysia’ menerusi penonjolan imej destinasi dan produk pelancongan melalui paparan pada pesawat penerbangan AirAsia ini.

“Usaha berterusan kerajaan negeri ini adalah bertujuan meningkatkan kunjungan pelancong ke Terengganu dan seterusnya memberikan faedah yang besar kepada rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee,  turut meluahkan rasa bangga dan percaya kolaborasi ini mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri tersebut.

“Kami berbangga kerana dapat meraikan pesawat berwajah ‘Beautiful Terengganu, Malaysia’ bersama kerajaan negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Rekaan ini adalah sebahagian daripada usaha sama yang berterusan dalam mempromosikan keindahan dan keistimewaan negeri Terengganu kepada tetamu kami di seluruh Asia Pasifik.

“Pada tahun lepas, kami telah menerbangkan lebih daripada 520,000 penumpang dari dan ke negeri ini selaras dengan misi kerajaan negeri untuk mengetengahkan industri pelancongan pada tahun ini kerana ia memberi faedah kepada semua, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (IKS),” jelasnya lagi.

Pesawat AirAsia akan memaparkan keindahan Terengganu selama dua tahun dan dijangka memberi impak yang besar dalam bidang pelancongan Terengganu.

Selain paparan di badan pesawat, promosi juga akan dipaparkan di ruang simpanan bagasi dan pada tempat letak makanan belakang kerusi di dalam pesawat itu.

– SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...