Skip to main content

 

 Laporan dan Foto oleh: Herman Hamid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2018 yang merupakan pameran pelancongan terbesar di Malaysia akan berlangsung pada 16 hingga 18 Mac 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Setakat ini, sebanyak 1,324 gerai pameran membabitkan 215 buah syarikat pelancongan termasuk agensi di bawah keahlian MATTA akan mengambil bahagian pada pameran tahun ini berbanding dengan 1,315 gerai pameran pada 2017.

Menurut Ketua Setiausaha Kehormat MATTA, Nigel Wong, edisi MATTA Fair yang ke-45 ini akan menampilkan ruang pameran seluas 29,000 kaki persegi yang melibatkan tujuh dewan.

“Sebanyak 1,027 gerai Pameran Pelancongan Antarabangsa akan ditempatkan di Dewan 1 hingga 3, manakala di Dewan 4 dan 5 akan menempatkan 237 pameran pelancongan domestik.

“Sementara itu sebanyak 60 gerai lagi akan di tempatkan di Dewan Mezzainne yang melibatkan pakej Umrah,” katanya.

Tambah Nigel, Jepun merupakan salah satu destinasi utama di Asia yang sering menjadi pilihan para pelanggan MATTA.

“Di samping itu juga, Malaysia Airlines (MAS) telah dilantik sebagai syarikat penerbangan rasmi dan Royal Carribean International pula sebagai Kapal Persiaran Mewah yang turut serta dalam pameran ini.

“MATTA juga telah berbincang dengan Grab Malaysia untuk bekerjasama bagi melancarkan lagi perjalanan para pengunjung ke MATTA Fair 2018.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng, berkata terdapat banyak tempat menarik dan cantik di Malaysia yang mungkin orang ramai tidak pernah tahu untuk dikunjungi.

“Jadi jangan lepaskan peluang untuk menerokai tempat-tempat menarik yang ada di setiap pelosok negara dengan mengunjungi MATTA Fair,” katanya lagi.

Dari kiri, Ketua Setiausaha Kehormat MATTA, Nigel Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng semasa sesi sidang media, di sini hari ini.

Dari kiri, Ketua Setiausaha Kehormat MATTA, Nigel Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng semasa sesi sidang media, di sini hari ini.

MATTA Fair adalah acara yang paling dinanti bagi mereka yang gemar melancong kerana pameran ini menyediakan pelbagai pakej dan tawaran menarik kepada para pengunjung.

Pada tahun ini, MATTA Fair menawarkan lebih banyak permainan dan akitiviti yang menakjubkan dan para pengunjung juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik.

Pameran ini akan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 9 malam dengan harga tiket yang dikenakan iaitu RM4 bagi dewasa dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan pameran ini di akaun rasmi Facebook MATTA Fair @mattafairkualalumpur dan di akaun Twitter @MATTA_FAIR .

– AH

Tinggalkan komen anda