Skip to main content
Berita TempatanLabuanWilayah Persekutuan

Najib Umum Projek PPR Pertama di Labuan

By 18 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Saiful Nizal Ismail

LABUAN, 18 Jan (Malaysiaaktif)– Kerajaan sedar bahawa apa-apa jua pembangunan perlu merangkumi aspek kenaikan taraf hidup rakyat. Perumahan merupakan salah satu agenda pembangunan terpenting oleh kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu lagi.

“Oleh sebab itu, pada hari yang bertuah ini, saya ingin umumkan projek Perumahan Rakyat (PPR) yang pertama di Labuan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan iaitu PPR Batu Arang Labuan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Projek PPR Batu Arang, Labuan ini melibatkan pembinaan 500 unit rumah pangsa berbilang tingkat termasuk kemudahan surau, taska, tadika, kedai, gerai serta balai komuniti.

“Unit PPR Batu Arang akan disewa dengan harga RM124 sebulan sahaja, manakala jika tuan-tuan dan puan-puan ingin membeli unit PPR Batu Arang, harga jualannya ditetapkan pada RM42 ribu yang jauh lebih murah daripada kos pembinaan sebenar iaitu melebihi RM215 ribu seunit, bermaksud kerajaan membayar subsidi sebanyak RM173 ribu untuk setiap unit, ujar Najib lagi.

Turut diumumkan juga Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Batu Arang, Labuan melibatkan pembinaan 160 unit rumah jenis teres satu tingkat dengan luas lantai 1,000 kaki persegi.

“Harga yang ditawarkan bagi rumah teres satu tingkat bermula dari 190 ribu ringgit, iaitu lebih kurang 40% lebih rendah daripada harga pasaran dimana kerajaan telah memperuntukkan lebih daripada 3 juta ringgit dalam bentuk dana mudahcara sebagai subsidi untuk membantu penjawat awam memiliki rumah di Labuan,” tambah Najib.

Najib juga optimis dengan pelaksanaan PPR dan PPA1M di Labuan bukan sahaja bakal memberi manfaat dari segi penyediaan rumah bagi golongan yang memerlukan, bahkan akan menikmati rumah yang lebih selesa dan tersusun, sekali gus akan mengurangkan masalah penyediaan rumah mampu milik yang tidak mencukupi kepada rakyat khususnya di Labuan.

-SF

Tinggalkan komen anda