Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Penantian Dapat Geran Tanah Lebih 20 Tahun Bakal Berakhir

By 20 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & Foto: Malini Md Yunos (Port Dickson)

PORT DICKSON, 20 Jan (Malaysiaktif) – “Saya berasa sangat gembira dengan pengumuman surat kelulusan dan Borang 5A dan rasa tidak sabar mendapat geran tanah yang dinantikan sejak 25 tahun lalu”.

Demikian ujar salah seorang penerima yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, 38, semasa majlis Penyerahan Penyerahan Surat Kelulusan dan Borang 5A Bagi Permohonan Tanah Kerjaan di Kg. Tampin Linggi atau Kg. Takau semalam di Pejabat Tanah Port Dickson semalam.

Tambah Lee, usaha kerajaan menyelesaikan isu pemilikan geran tanah  Kg. Tampin Linggi atau Kg. Takau ini amat terpuji malah meyakinkan masyarakat bahawa kerajaan dan pemimpin hari ini sentiasa memberikan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat.

Sementara itu, Pegawai Daerah dan Tanah Port Dickson, Khairy Maamor berkata proses mendapatkan geran tanah kepada pemohon tanah bermula di peringkat awal sejarah tanah dipohon ini milik Ladang Sime Darby tetapi pekerja asal membuat rumah dan terus menetap tetapi hakikatnya tuan tanah ialah Sime Darby.

“Jadi bagi menjamin pemohon untuk terus menetap di situ maka perlu diadakan jual beli tukar nama geran Sime Darby ini kepada nama pemilik individu.

“Hari ini kita sampaikan surat kelulusan dan Borang 5A untuk proses memiliki tanah yang telah diluluskan jadi proses mendapatkan geran tanah semakin hampir. Tanah sudah diluluskan cuma belum ada geran sahaja lagi,” ujarnya.

Tambahnya, selepas menerima surat kelulusan, pemohon perlu melalui proses seterusnya iaitu terima Borang 5A dan perlu membayar kepada kerajaan premium tanah, pendaftaran hak milik sementara dan hak milik kekal, upah ukur pelan B2 untuk batu sempadan dan cukai tahun pertama berdasarkan keluasan tanah.

Khairy mengumumkan berita baik kepada penerima Borang 5A kerana hari ini (semalam) tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pemohon tanah ini.

“Bayaran deposit semasa proses pengambilan tanah berjumlah RM2.4 juta. Bayaran pampasan kepada pihak Sime Darby sebanyak RM1.9 juta dan deposit tanah masih berbaki RM450,000.

“Jumlah kos Borang 5A yang perlu dibayar oleh 75 orang pemohon hari  ini sebanyak RM85,000 dan kos Pelan B2 sebanyak RM3,000 dan jumlah perlu dibayar oleh penerima Borang 5A sebanyak RM88,000.

“Oleh itu, kos Borang 5A akan dibayar menggunakan baki deposit tadi dan urusan bayaran Borang 5A ini akan diuruskan oleh peguam yang dilantik,” ujarnya.

Khairy turut menjelaskan jika bayaran kepada kerajaan selesai tanpa sebarang masalah, pemohon boleh mula mendaftar hak milik sementara dan dalam tempoh sebulan Pejabat Tanah akan membuat daftar hak milik sambungan kepada Sime Darby dan selepas itu pemohon akan terima geran tanah kekal.

Abdul Rahman menyampaikan ucapan perasmian

Abdul Rahman menyampaikan ucapan perasmian

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan masalah tanah ini sejak 1997.

“Kepercayaan dan kerjasama menjadi kunci utama usaha mendapatkan geran tanah individu ini berjaya dengan penyerahan surat kelulusan dan Borang 5A ini,” jelasnya.

Turut diumumkan kadar premium ditetapkan oleh kerajaan negeri sebanyak RM100 bagi setiap pemohon akan dibayar melalui baki deposit pengambilan tanah termasuk menjelaskan cukai-cukai yang termaktub tiada caj lain-lain tetapi pemohon hanya perlu menunggu geran sahaja.

SF

 

Tinggalkan komen anda