Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Transformasi TVET Perintis Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua @ Rapid Bus

By 23 Januari 2018Januari 24th, 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Abdul Razak Zakaria (Hulu Langat)

BALAKONG, 23 Jan (Malaysiaaktif) – “Selari dengan langkah kerajaan melancarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) telah melakukan transformasi TVET.”

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata demikian ketika melancarkan Kampus Satelit Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua @ Rapid Bus sebagai perintis pelaksanaan Kursus Penyelenggaraan Bas Elektrik serta program Bootcamp 2018, di sini semalam.

“Pihak BPKB dalam proses merangka kurikulum dan silibus pengajian dan juga telah memperhebatkan lagi kerjasama strategik ‘Public – Private Partnership’ melalui perkongsian kepakaran bersama industri.

“Melalui pendekatan ini juga BPKB melalui IKTBN Dusun Tua telah bersama-sama Bus Academy, Rapid Bus Sdn Bhd di bawah Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad terus menjalinkan kerjasama sehingga tertubuhnya Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua @ Rapid Bus bagi melaksanakan Program Sijil Kemahiran Malaysia Bidang Penyelenggaraan Bas Elektrik Tahap 3,” katanya.

Kursus Penyelenggaraan Bas Elektrik ini dilaksanakan untuk memenuhi keperluan tenaga mahir dalam bidang berkenaan, khususnya di Rapid Bus Sdn Bhd.

IKTBN Dusun Tua bersama-sama Rapid Bus Sdn Bhd melalui Akademi Bas telah menjalankan kerjasama bagi menyediakan dan melahirkan mekanik bas elektrik yang semakin bertambah, khususnya di Rapid Bus Sdn Bhd melalui kursus yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta yang lain.

Bermula Mei 2016, KBS melalui IKTBN Dusun Tua telah menjalankan kerjasama bersama Kumpulan Prasarana Berhad dengan melaksanakan beberapa program seperti ‘Program Bootcamp Kapten Bas’ yang intensif selama tiga bulan; Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi bidang Penyelenggaraan Kenderaan Perdagangan Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia Bidang Automotif; Program Peningkatan Kemahiran Tenaga Pengajar; Program Latihan Sangkutan Industri dan ‘Train The Trainer’ bagi bidang baru seperti Penyelenggaraan Bas Elektrik dan Program ‘Train at Workplace’ bagi pelajar.

Bagi tahun 2017, Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah meluluskan peruntukan bagi Program Bootcamp sebanyak RM1.147 juta dan RM 2 juta bagi tahun 2018 melalui geran padanan.

Pada tahun ini disasarkan seramai 500 belia akan mengikuti Program Bootcamp untuk bidang seperti kapten bas, scaffolding, mekanik industri, pengacuan suntikan, elektronik industri, penyaman udara, automotif, pembantu khidmat pelanggan, terapi sukan dan kimpalan.

WhatsApp Image 2018-01-22 at 18.34.31

Penaja industri yang terlibat adalah Rapid Bus, Pos Aviation, Pure Technic, Sapura Energy, Petrominwork, Esquel Malaysia dan Bernas Sdn Bhd.

Rapid Bus telah bersetuju untuk menanggung kos sebanyak 30 peratus daripada jumlah kos latihan dan latihan akan dilaksanakan selama tiga bulan di IKTBN Dusun Tua serta tujuh bulan di Akedemi Bas, Rapid Bus Sdn Bhd.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Masnizam Hisham; Timbalan Ketua Setiausaha Strategik Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia, Nidzam Kamarulzaman.

– AH

Tinggalkan komen anda