Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Larangan Bertudung: Pihak Hotel Masih Berdegil

By 25 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh: Khairul Shahrizal Ismail & Anwar Aizuddin Abdul Wahab (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Malaysiaaktif) – “Pihak hotel bertaraf lima dan enam bintang di kebanyakan negeri masih lagi berdegil tidak membenarkan pekerja wanita Islam bertudung sedangkan di negeri Kelantan, pekerja wanita Islam boleh bertudung, ini menunjukkan berlaku diskriminasi terhadap hak asasi pekerja wanita Islam”.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata demikian pada sidang media larangan pemakaian tudung bagi wanita beragama Islam bekerja di hotel, di sini hari ini.

Jelas Mohamed Shafie, pihak hotel yang bertegas tentang larangan pemakaian tudung bagi pekerja wanita Islam bekerja di hotel adalah menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) namun kegagalan menunjukkan SOP tersebut menimbulkan tanda tanya adakah SOP ini benar-benar wujud ataupun hanya mengikut standard hotel antarabangsa.

“Kita puji Menteri Besar Negeri Sembilan yang mengambil langkah drastik menarik lesen perniagaan hotel sekiranya menguatkuasakan larangan pemakaian tudung terhadap pekerja wanita Islam.

“Kita lihat langkah ini perlu diambil oleh setiap negeri bagi memastikan hak beragama terjamin selaras dengan Perlembagaan Negara” katanya.

Menurut Timbalan Bendahari Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, “Banyak aduan seperti ini telah kami terima dan perkara ini telah pun dibawa semasa perbincangan di antara pihak kami, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Persatuan Hotel Malaysia (MAH), namun tidak dapat mencapai kata putus kerana wakil pihak MAH gagal hadir”.

Dari kiri, Nurul Shuhada Shuib, Prof. Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar,Datuk Hj Mohamed Shafie BP Mammal, Datuk Nadzim Johan dan Mohd Effendy Abdul Ghani.

Dari kiri, Nurul Shuhada Shuib, Prof. Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar,Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, Datuk Nadzim Johan dan Mohd Effendy Abdul Ghani.

Semantara itu, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, “Kami telah turun ke lapangan dan berjumpa sendiri dengan pengadu bahawa mereka tertekan secara emosi kerana mereka terpaksa membuka tudung untuk bekerja sedangkan mereka telah berkhidmat selama tiga hingga 27 tahun.

“Larangan bertudung ini dikenakan bukan sahaja pada bahagian kaunter hadapan malahan di bahagian pentadbiran, dapur serta bahagian lain yang tidak memerlukan mereka berurusan secara langsung dengan pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan larangan ini seperti satu langkah penafian hak beragama dan hak asasi bagi pekerja wanita Islam.

“Kita lihat perkara ini bukan perkara baru malah sudah dibangkitkan sejak 10 tahun lepas. Ini bukan pasal perkauman tetapi hak asasi rakyat Malaysia.

“Kita sarankan badan agama seperti JAKIM untuk menarik balik lesen halal hotel berkaitan untuk melihat sama ada hotel bertaraf lima dan enam bintang ini boleh terus survival tanpa sokongan dari pelanggan beragama Islam,” tegasnya.

Selain itu, Nurul Shuhada Shuib daripada Persatuan Kebajikan Serantau Muslim pula berpendapat bahawa kerajaan perlu meminda Akta Kerja 1955 kerana tiada peruntukan khas untuk pekerja wanita bertudung.

– AH

Tinggalkan komen anda